KUALA LUMPUR 17 Ogos - Laporan SuperHuman: Penerimaan AI, membentuk masa depan Sumber Manusia yang diterbitkan oleh platform teknologi Sumber Manusia terkemuka Employment Hero mendedahkan bahawa 55% daripada ketua HR khuatir mengenai penggunaan beretika AI dalam amalan sumber manusia mereka.
Walaupun begitu, 99% daripada ketua sumber manusia negara ini mendakwa bahawa sistem sumber manusia mereka telah memanfaatkan AI, dan 82% bersetuju bahawa AI boleh menjimatkan masa dan memudahkan kerja mereka.
Menurut laporan itu, 71% daripada ketua sumber manusia Malaysia menyatakan keterujaan mereka mengenai potensi AI untuk transformasi dalam mentakrifkan semula peranan sumber manusia, dengan manfaat terulung merangkumi peningkatan kelajuan dan kecekapan (38%), peningkatan prestasi dan produktiviti pekerja (36%) dan analisis sumber manusia yang dipertingkatkan (30%).
Bidang yang mereka jangka akan paling terkesan oleh kemajuan AI ialah pengurusan prestasi (36%), latihan dan pembangunan (33%) dan pengambilan pekerja (32%).
Namun apabila menyentuh perihal kekhuatiran utama mengenai penggunaan AI dalam sumber manusia, privasi pekerja (42%) adalah yang paling banyak dinyatakan, diikuti oleh keselamatan dan penyimpanan (37%) serta kekurangan kepercayaan dan ketelusan (26%).
Responden juga kelihatan berhati-hati mengenai pembangunan eksperimen AI selanjutnya dalam ruang sumber manusia, dengan 50% ketua sumber manusia bersetuju bahawa perkembangan AI yang bercita-cita tinggi harus dihentikan buat seketika.
Pengarah Urusan Asia di Employment Hero, Kevin Fitzgerald berkata, walaupun AI berfungsi sebagai pembantu dalam proses sumber manusia, ia sama sekali tidak menggantikan elemen manusia dalam pengurusan manusia.
Menurutnya, daripada mengautomatikkan setiap proses, AI harus digunakan bagi menyelaraskan aspek pemprosesan sumber manusia yang manual dan membosankan. Apabila lebih banyak masa dapat dijimatkan, perniagaan boleh memfokus kepada aspek tugas yang lebih mengutamakan orang, dan kepada inisiatif pemacu hasil yang lain.
“Revolusi AI akan menjadi sejajar dengan semua fungsi perniagaan, dan terpulang kepada majikan serta ketua sumber manusia untuk meraih manfaatnya sambil mengurangkan ancaman dan kekhuatiran.
"Bagi menjayakan usaha ini, majikan mesti mengutamakan pendidikan dan memudahkan pembelajaran dalam kalangan tenaga kerja mereka untuk memastikan penggunaan yang beretika dan berjaya.
"Digunakan dengan jayanya, AI boleh menyokong perniagaan dalam pelbagai cara, dan yang paling penting, membolehkan pekerja meluangkan lebih banyak masa untuk tugas yang masih memerlukan sentuhan manusia - seperti pengurusan orang, perekrutan dan budaya syarikat - serta aktiviti yang menguntungkan yang memberi manfaat kepada pendapatan,” kata beliau. - DagangNews.com