6 wakil negara buru slot pusingan ketiga di Kejohanan Badminton Dunia hari ini | DagangNews Skip to main content

6 wakil negara buru slot pusingan ketiga di Kejohanan Badminton Dunia hari ini

Pasangan beregu wanita, M. Thinaah dan Pearly Tan akan turun beraksi hari ini bagi mencari tempat ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Enam wakil negara akan turun beraksi hari ini bagi merebut tempat ke pusingan ketikan Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung di Huelva, Sepanyol.

 

Mereka yang akan turun beraksi termasuk perseorangan No.1 negara, Lee Zii Jia; pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

 

Turut beraksi adalah Liew Daren, M.Thinaah-Pearly Tan dan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

 

Zii Jia yang juga pilihan keenam kejohanan berazam untuk tidak menjadi mangsa kepada pemain kurang ternama selepas dia dijadualkan menentang pemain Brazil, Ygor Coelho dalam aksi hari ini.

 

Katanya, dia tidak berada pada tahap terbaik ketika aksi bertemu Anthony Ho-Shue pada pusingan pertama sekaligus perlu segera memperbaiki setiap kelemahan sebelum membuat perhitungan dengan Coelho.

 

"Saya fikir ia adalah permulaan sukar untuk saya pada Kejohanan Dunia kali ini kerana saya tidak berada pada tahap terbaik. Jadi, saya perlu bermula semula.

 

minton
Lee Zii Jia

 

"Saya perlu segera pulih dan berada pada tahap terbaik apabila berdepan pemain Brazil (Coelho). Saya perlu buat persiapan dari aspek mental," katanya.

 

Semalam, bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Viktor Axelsen menjadi mangsa selepas tersingkir kepada pemain Singapura Loh Kean Yew 21-14, 9-21, 6-21.
 

Dalam pada itu, pasangan beregu lelaki negara, Aaron-Wooi Yik masih dihantui masalah tidak konsisten semasa beraksi di kejohanan itu dalam usaha mencari kejuaraan pertama di pentas antarabangsa.

 

mintos
Aaron Chia (kiri) dan Soh Wooi Yik

 

"Kami hanya boleh berikan segala yang termampu dalam setiap kejohanan dan tidak mahu membebani diri dengan sebarang sasaran khusus.

 

"Paling penting sekarang ini adalah kami beraksi dengan konsisten, selepas itu keputusan akan datang," katanya yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan. - DagangNews.com