60-70% penduduk disuntik vaksin COVID-19 capai imuniti kelompok | DagangNews Skip to main content

60-70% penduduk disuntik vaksin COVID-19 capai imuniti kelompok

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60% hingga 70% atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu diberikan vaksin COVID-19. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini, kerajaan telah menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40% liputan populasi. 

 

“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80% jumlah populasi negara atau 26.5 juta. 

 

“Kerajaan akan pastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia. 

 

“Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 tersebut boleh digunakan di Malaysia,” katanya dalam perutusan khas hari ini. 

 

Sebelum itu, Muhyiddin mengumumkan kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari bemula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

 

Langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat, di mana  PKP dikenakan ke atas enam  buah negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. 

 

Bagaimanapun, Muhyiddin memberi amaran bahawa vaksin bukan satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk penyembuhan.

 

“Saya ingin mengingatkan seluruh rakyat termasuk diri saya sendiri untuk terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Ya, betul kita akan menerima bekalan vaksin tidak lama lagi tetapi itu bukan satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk penyembuhan.

 

“Pencegahan paling utama adalah dengan diri kita sendiri melakukan amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap, gunakan hand sanitizer sekiranya tiada punca air yang berdekatan, pakai pelitup muka ketika berada di tempat-tempat awam, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan.

 

“Bersama, kita berpeluang untuk membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih teruk. Saya sangat berharap agar segala nasihat dan peringatan yang saya sampaikan hari ini akan dipatuhi sepenuhnya oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya lagi. 

 

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan lakukan yang terbaik untuk memberi perlindungan kepada seluruh rakyat.  - DagangNews.com