Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Seramai 732,000 peminjam mengambil langkah untuk meneruskan bayaran ansuran pinjaman bulanan selepas tempoh moratorium tamat pada 30 September 2020.
Angka berkenaan meningkat daripada 336,000 peminjam pada bulan April lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (gambar) berkata, setakat 28 Ogos 2020, nilai moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan dianggarkan berjumlah RM81.9 bilion.
“Daripada angka berkenaan, sebanyak RM28.6 bilion adalah jumlah yang dimanfaatkan oleh sektor perniagaan, manakala jumlah yang dimanfaatkan oleh peminjam individu bernilai RM53.3 bilion.
“Sehingga 28 Ogos 2020, pihak bank telah menghubungi lebih dua juta peminjam yang merangkumi individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat lain-lain termasuk perniagaan korporat dan komersial bagi menawarkan bantuan pembayaran pembiayaan.
“Menjelang tamatnya moratorium secara umum pada 30 September 2020, institusi perbankan terus bersedia untuk membantu peminjam yang masih terjejas akibat COVID-19 melalui moratorium lanjutan dan bantuan bank bersasar bermula 1 Oktober 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Tengku Zafrul, penemuan dan pembuatan COVID-19 secara komersial akan mengambil masa.
“Oleh sebab itu, kita perlu memastikan sistem perbankan negara kekal utuh dan kukuh untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan di masa hadapan,” jelasnya.
Bagi program pembendungan penularan wabak COVID-19, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM627.1 juta dalam usaha meningkatkan keupayaan Kementerian Kesihatan untuk memerangi pandemik itu, setakat 28 Ogos 2020.
“Sebanyak RM1 bilion telah diperuntukkan bagi membiayai peralatan perubatan, peralatan perlindungan diri (PPE) dan keperluan makmal untuk saringan COVID-19.
“Kedua, diskaun bil elektrik. Sehingga 31 Ogos 2020, sebanyak RM1.67 bilion dalam bentuk diskaun ke atas bil elektrik telah diberikan kepada sekitar tujuh juta pengguna domestik.
“Dari jumlah besar diskaun elektrik yang diberikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), 83% telah dimanfaatkan oleh pengguna domestik,” tambah beliau. - DagangNews.com