9M20: Pelaburan sektor pembuatan meningkat kepada RM65.3 bilion | DagangNews Skip to main content

9M20: Pelaburan sektor pembuatan meningkat kepada RM65.3 bilion

Sektor pembuatan

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Jumlah pelaburan negara dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 16.6% kepada RM65.3 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM56 bilion untuk tempoh sama pada tahun sebelumnya.

"Berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan menyaksikan lonjakan sebanyak 45.5% kepada RM25.9 bilion dalam tempoh ini, manakala nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan meningkat 3.2% kepada RM39.4 bilion.

"Jumlah pelaburan yang diluluskan kebanyakannya merangkumi produk petroleum termasuk petrokimia (RM15 bilion), produk logam asas (RM14.5 bilion), elektrik dan elektronik (RM7.7 bilion), jentera dan peralatan (RM5.8 bilion) serta produk kimia (RM4.5 bilion).

"Ia turut termasuk pengeluaran makanan (RM3 bilion), peralatan pengangkutan (RM3 bilion) dan peralatan saintifik dan pengukuran (RM2.1 bilion) sekali gus membentuk 85% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi sektor berkenaan," jelas MIDA dalam satu kenyataan.

Tambah MIDA, pelaburan tertinggi sektor pembuatan mengikut negeri yang diluluskan adalah Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Kesemua negeri itu menjadi penyumbang kepada jumlah pelaburan sebanyak RM51.3 bilion.

Dalam pada itu, nilai pelaburan asing (FDI) utama untuk tempoh berkenaan disumbangkan oleh Cina, Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat, Belanda, Thailand, Jepun dan Korea Selatan.

Negara-negara tersebut menyumbang sebanyak 91.4% atau RM36.0 bilion daripada keseluruhan FDI yang diluluskan.

Ujar MIDA lagi, pihaknya juga telah menarik pelaburan berkualiti dalam projek-projek berintensifkan modal, bernilai tambah serta berteknologi tinggi.

Perkata tersebut dibuktikan melalui peningkatan pelaburan modal bagi setiap nisbah pekerja kepada RM1.28 juta berbanding RM1.04 juta untuk tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com