KUALA LUMPUR 30 Ogos - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pelantikan Adnan Zaylani Mohamad Zahid sebagai Timbalan Gabenor BNM untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 September 2023.
Sebagai Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani akan bertanggungjawab menyelia sektor Pasaran Kewangan dan Pembangunan.
Beliau juga akan menjadi ahli Lembaga Pengarah Bank dan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa bank, termasuk sebagai ahli Jawatankuasa Pengurusan dan Jawatankuasa Dasar Monetari.
"Beliau juga akan menganggotai Jawatankuasa Pengurusan Rizab, Jawatankuasa Pengurusan Risiko Kewangan, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, dan Jawatankuasa Dasar Bersama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Adnan Zaylani memulakan kerjaya di bank pada 1994 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Dasar Awam dari Blavatnik School of Government, University of Oxford.
Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Ekonomi Pasaran Global dan Sarjana Muda Sains dalam bidang Ekonomi dari London School of Economics and Political Science.
Sepanjang tempoh kerjaya selama 29 tahun dengan bank, beliau terlibat dalam pelbagai bidang perbankan pusat yang merangkumi pelaburan dan pasaran kewangan, dasar pertukaran asing, kewangan Islam serta pembangunan sektor kewangan.
"Beliau kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pasaran Kewangan, serta ahli Jawatankuasa Eksekutif International Islamic Liquidity Management Corporation, Lembaga Pengarah Kumpulan Wang Amanah Persaraan dan Lembaga Pengarah International Centre for Education in Islamic Finance," kata BNM. - DagangNews.com