KUALA LUMPUR 26 Nov - Kementerian Kewangan (MOF) memutuskan untuk mendaftarkan MYDATA Informatica Sdn Bhd (MISB) dan One Future Solutions Sdn Bhd (OFS) sebagai Agensi Pelaporan Kredit (APK) baharu di bawah seksyen 14 Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 (Akta 710) pada 26 November 2024.
Menerusi pendaftaran baharu ini, bilangan APK meningkat daripada lapan kepada sepuluh 10 yang berdaftar.
Kedua-dua syarikat ini menyertai industri pelaporan kredit, yang dianggotai antaranya oleh CTOS Data Systems Sdn Bhd, Experian Information Services (Malaysia) Sdn Bhd dan Credit Bureau Malaysia Sdn Bhd.
"Sebagai entiti baharu dalam industri pelaporan kredit, kedua-dua syarikat ini dijangka melaksanakan pelbagai inisiatif penting dalam masa terdekat.
"Usaha ini sejajar dengan matlamat memperkukuhkan ekosistem dan industri pelaporan kredit negara serta memberi manfaat kepada pengguna dan institusi kewangan," kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
MOF yakin, MISB dan OFS akan melaksanakan tanggungjawab secara profesional dan mematuhi segala peruntukan yang ditetapkan di bawah Akta 710.
Kerajaan juga akan terus memantau pelaksanaan tanggungjawab ini untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan memenuhi standard yang tinggi serta memberi nilai tambah kepada sektor kewangan negara.- DagangNews.com