KUALA LUMPUR 10 Julai - Affin Bank Bhd bercadang meningkatkan kapasiti pengendalian transaksi nilai rendah dan tinggi melalui semua platform perbankannya kepada lebih 20 peratus, menerusi kerjasama dengan pembekal penyelesaian perisian, ACI Worldwide.
Ketua Pegawai Operasi kumpulan Affin, Risham Akashah Kamaruzaman berkata, kerjasama itu merupakan sebahagian daripada inisiatif pendigitalan Affin yang telah mengalokasikan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM400 juta untuk tahun ini.
"Kami menjangkakan peningkatan sehingga 75 peratus dalam kecekapan, didorong oleh pengautomasian proses dan penghapusan tindakan manual.
"Platform baharu kami juga akan mengendalikan sehingga 20 peratus lagi jumlah transaksi, menyokong matlamat pertumbuhan dan kebolehskalaan kami.
"Dengan kapasiti yang ditingkatkan ini, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi tuntutan pangkalan pelanggan yang semakin berkembang dan keperluan pasaran yang berubah-ubah," kata Risham semasa majlis menandatangani kerjasama di sini hari ini.
Di bawah kerjasama ini, platform pembayaran korporat baharu direka itu menyelaraskan dan meningkatkan kecekapan proses pembayaran untuk perniagaan, menawarkan sistem terpusat yang menggabungkan semua arahan pembayaran dari pelbagai saluran, termasuk pembayaran nilai tinggi dan rendah.
Ini termasuk Sistem Penghantaran Affin (ADS), Perbankan Internet Runcit AffinAlways dan Perbankan Internet Mudah Alih, AFFINMAX (platform Perbankan Internet Korporat), dan ATM.
Menurut Risham, pelaksanaan platform ini akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan keupayaan operasi penuh dijangka pada tahun 2025.
"Pendekatan berperingkat ini akan membolehkan kami memastikan peralihan yang lancar, menguji setiap peringkat dengan teliti, dan membuat sebarang penyesuaian yang diperlukan untuk mengoptimumkan prestasi," tambahnya. - DagangNews.com