KUALA LUMPUR 5 Dis - Agmo Holdings Berhad melancarkan Agmo Order iaitu aplikasi mudah alih e-dagang perniagaan-ke-perniagaan (B2B) berasaskan awan baharu yang membantu mengautomasikan jualan harian dan operasi borong.
Pelancaran Agmo Order adalah tepat pada masanya kerana ia direka khusus untuk membantu perniagaan runcit dan borong selaras dengan trend baharu.
Aplikasi itu membolehkan pengguna B2B membuat pesanan, membuat pembayaran dan menjejaki transaksi pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
Agmo Order menyokong perniagaan dalam pelbagai industri utama, termasuk barangan pengguna yang bergerak pantas (FMCG), instrumen perubatan serta makanan dan minuman (F&B), membolehkan pelanggan membuka kunci nilai digital selain meningkatkan kecekapan operasi.
Ketua Pegawai Operasinya, Tan Aik Keong berkata, Agmo Order adalah aplikasi yang sangat berguna kerana ia menyepadukan penyelesaian digital yang berkuasa ke dalam proses runcit dan borong.
"Ini akan membantu perniagaan meningkatkan produktiviti, meningkatkan keselamatan data dan mengurangkan kos operasi.
"Aplikasi ini boleh bergabung dengan kebanyakan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) untuk memperhalusi lagi proses perniagaan dan membolehkan perniagaan menggunakan antara muka tunggal untuk mengurus sejumlah besar maklumat dengan mudah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Agmo Order juga dilengkapi dengan ciri e-invois yang selamat dan mudah yang membolehkan pengguna menjana butiran yang diperlukan untuk resit pembayaran tanpa campur tangan manual.
Secara umum, semua fungsi aplikasi akan membantu perniagaan mempercepatkan transformasi digital.
“Kami membayangkan Agmo Order menjadi hab kuasa untuk pemilik perniagaan menjalankan perniagaan mereka dengan cekap dengan kuasa teknologi terkini, ini juga boleh membantu mereka mencapai matlamat kemampanan mereka dalam jangka masa panjang," katanya.
Aplikasi Agmo Order boleh didapati dari serendah RM1,500 sebulan untuk 250 pengguna aktif.
Sempena pelancaran aplikasi itu, Agmo menawarkan diskaun 50% untuk langganan tahun pertama untuk 10 pelanggan pertama. - DagangNews.com