KUALA LUMPUR 5 Okt. - Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) didakwa bakal menutup operasi sebuah syarikat gabungannya di India.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Penerbangan India, Hardeep Singh Pur, seperti dilaporkan Bloomberg.
“Syarikat AirAsia (di India) akan tetap ditutup. Syarikat induknya ada masalah,” kata beliau dalam sebuah komen di televisyen yang kemudiannya tular dalam laman media sosial.
Sementara itu, jurucakap AirAsia di India yang majoritinya dimiliki oleh syarikat konglomerat, Tata Group bagaimanapun enggan mengulas mengenai berita tersebut.
Menurut Bloomberg, AirAsia berusaha untuk meraih sehingga RM2.5 bilion pada penghujung tahun ini memandangkan penularan COVID-19 menyekat perjalanan di seluruh dunia.
Sebelum ini, syarikat penerbangan tambang murah itu mencatatkan kerugian terbesar pada Ogos dan sedang menilai semula operasinya di Jepun.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes juga tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung penutupan operasi di Jepun.
Sementara itu, AirAsia India mula menjalankan operasi penerbangan pada tahun 2014 dengan jangkaan mampu mencapai impak dalam tempoh empat bulan.
Bagaimanapun, syarikat itu didakwa tidak berjaya meraih keuntungan tinggi.
Sementara itu, Tata Sons juga didakwa sedang mempertimbangkan usaha sama dengan AirAsia dan ketika ini dalam rundingan untuk membeli 49% kepentingan daripada syarikat penerbangan itu dalam AirAsia India.
Berita tempatan melaporkan AirAsia tiada rancangan untuk menyuntik lebih banyak dana ke dalam usaha sama berkenaan. - DagangNews.com