Aktiviti pasaran modal dijangka kembali pulih - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Aktiviti pasaran modal dijangka kembali pulih - Maybank IB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 April - Aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dijangka meningkat tahun ini, seiring dengan keyakinan yang kembali terhadap pasaran. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Invesment Bank (IB), Fad’l Mohamed berkata, ia juga didorong oleh trend berterusan pelabur ekuiti persendirian yang mahu menjana pelaburan dan menyemak semula skala operasi syarikat multinasional.

 

Katanya, pandemik COVID-19 yang masih berterusan sejak 12 bulan lalu mencerminkan pasaran modal Malaysia berdaya tahan, meluas dan mampu menyokong aktiviti pengumpulan modal.

 

"Kami melihat aktiviti yang lebih besar bagi syarikat yang penilaiannya dipengaruhi cabaran sepanjang 2020 tetapi perniagaan asasnya kekal kukuh, terutama dalam sektor peruncitan. 

 

"Ini adalah peluang bagi pemegang saham untuk memperkukuh dan menyusun semula perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Fad’l Mohamed
Fad’l Mohamed

 

 

Beliau memberi contoh kejayaan MR DIY Group (M) Berhad yang berjaya mengumpul RM1.5 bilion daripada tawaran awam permulaan (IPO) terus menunjukkan prestasi yang kukuh selepas disenaraikan dengan penyertaan aktif pelabur institusi. 

 

Selain itu, katanya, jumlah sukuk dan bon yang kukuh bernilai RM104 bilion tahun lalu menyediakan kecairan yang mencukupi dalam pasaran.

 

Fad’l berkata, persekitaran kadar faedah yang rendah akan menyokong kecairan di peringkat domestik, termasuk transaksi penswastaan yang mana akan meletakkan kembali duit dalam pelabur minoriti.

 

"Meskipun hasil bon meningkat secara mendadak bagi tempoh 3 bulan terakhir, tetapi ia masih lebih rendah daripada hasil purata dalam tempoh 10 tahun lalu," jelasnya.

 

Di samping itu, permintaan terhadap pulangan dana yang mapan masih kekal kukuh. 

 

"Pemerhatian kami ini diperkukuhkan lagi dengan laporan tahunan Suruhanjaya Sekuriti yang baru sahaja dikeluarkan, yang menunjukkan dana dilaburkan di Malaysia oleh syarikat pengurusan dana berkembang daripada RM620.1 bilion setakat akhir 2019 kepada RM649.5 bilion pada akhir tahun lalu, di sebalik pandemik COVID-19," jelasnya.

 

Sehubungan itu, beliau berkata, aktiviti pasaran modal Malaysia berada dalam landasan pemulihan tahun ini dengan kecenderungan terhadap pengumpulan modal bagi sesetengah sektor menunjukkan tahap paras sebelum pandemik. 

 

"Ini antaranya, syarikat yang mendapat daripada wabak ini seperti sarung tangan getah dan penjagaan kesihatan, syarikat yang berdaya tahan ketika pandemik (seperti kewangan dan berkaitan fintech) serta syarikat yang pada awalnya terkesan tetapi kembali bangkit dengan pantas (seperti logistik dan hartanah)," katanya.
 

 

Beliau juga menjangkakan aktiviti pasaran modal akan kembali ke tahap yang sihat apabila sektor ekonomi menuju ke arah pemulihan sekiranya tidak berlaku sebarang kejadian yang boleh menjejaskan pertumbuhan seperti gelombang baharu jangkitan COVID-19, vaksin yang tidak lancar dan ketidakstabilan politik. - DagangNews.com