KUALA LUMPUR 4 Sept - MIDF Research menjangkakan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) kekal lemah pada separuh kedua tahun ini selepas aktiviti pembuatan terus mencatatkan penguncupan.
Firma penyelidikan itu berkata, indeks berkenaan kekal pada paras 47.8 pada Ogos 2023.
Katanya, pengeluaran kekal lemah apabila aliran masuk pesanan baharu berkurangan, dengan pesanan eksport baharu menurun untuk empat bulan terakhir berturut-turut.
"Kami berpendapat kelemahan dalam sektor pembuatan untuk Malaysia adalah sejajar dengan trend pembuatan global
"Oleh itu kelembapan akan berterusan pada pada separuh kedua tahun ini akibat permintaan global yang lemah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kebanyakan syarikat mengurangkan tenaga kerja untuk bulan keempat berturut-turut dan menandakan kejatuhan paling teruk dari segi kadar penyingkiran pekerjaan sejak Disember 2022.
Selain itu, masa penghantaran pembekal telah dipanjangkan kepada sembilan bulan terpanjang kerana syarikat menunjukkan cabaran daripada kekurangan bahan mentah.
Dari segi harga, inflasi kos input meningkat kepada kadar tertinggi sejak November 2022 disebabkan kenaikan kos bahan mentah dan kelemahan dalam ringgit manakala inflasi kos keluaran menandakan peningkatan terpantas sejak Februari 2023.
"Walaupun aliran penguncupan dalam PMI keseluruhan, sentimen perniagaan menunjukkan pandangan optimis tetapi masih di bawah purata jangka panjang.
"Dalam kalangan negara lain, aktiviti pembuatan terus menurun kerana situasi dalam sektor itu kekal mencabar," katanya. - DagangNews.com