Aktiviti pengeluaran diunjur lemah untuk baki tahun ini, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Aktiviti pengeluaran diunjur lemah untuk baki tahun ini, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - AmInvestment Bank Research mengunjurkan aktiviti pengeluaran menjadi lemah untuk baki tahun ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti perkilangan dalam kebanyakan negara maju dan jiran terus mencatatkan penurunan seperti yang ditunjukkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) yang kekal mencatatkan penguncupan.

 

"Selain itu, aktiviti perdagangan dengan rakan kongsi utama seperti Singapura, China dan AS juga mengecewakan sepanjang tahun.

 

"Di pasaran domestik, PMI pembuatan terkini Malaysia meningkat sedikit kepada 47.9 pada Julai 2023 (Jun 2023: 47.7), tetapi ia masih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sektor pembuatan mengalami penurunan dalam pengeluaran, di mana subsektor yang menyumbang kepada kemerosotan ini adalah produk petroleum, kimia, getah dan plastik, yang merosot sebanyak 4.6%, diikuti oleh produk elektrik & elektronik yang jatuh sebanyak 3.6% dan produk kayu yang mengalami penguncupan marginal 0.2%.

 

Antara sektor berorientasikan eksport yang terjejas ialah kok & produk petroleum ditapis, komputer & elektronik dan produk getah.

 

Bagaimanapun, industri berorientasikan domestik terus berkembang pada kadar sederhana 4.1%, diterajui oleh produk logam fabrikasi, pemprosesan makanan dan pembuatan logam asas.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sebab utama bacaan di bawah 50 mata adalah kerana penurunan ketara dalam jumlah pesanan baharu yang menyederhana sejak 11 bulan lalu.

 

Katanya, keyakinan lemah dalam pasaran domestik dan antarabangsa dilihat sebagai faktor penyumbang.

 

"Kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2023 berada dalam julat 3.9% hingga 4.4%.

 

"Kami mengekalkan dengan jangkaan bahawa ekonomi akan berkembang sebanyak 4.5% pada 2023, disokong terutamanya oleh faktor domestik, termasuk penggunaan swasta dan realisasi pelaburan," katanya.- DagangNews.com