BAGAN SERAI 31 Julai - Amanah Raya Bhd akan terus giat menjejak waris RM500 juta Wang Menunggu Dituntut (WMD) atau dana tertangguh yang masih tersimpan dengan agensi itu setakat akhir Julai 2024.
Pengerusinya, Tan Sri Idrus Harun berkata, AmanahRaya bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pemimpin masyarakat bagi menjejak waris wang itu.
"Antara faktor utama wang itu tidak dituntut adalah kerana perbalahan yang berlaku antara penerima bahagian pusaka serta kes membabitkan kematian berlapis, sekali gus mengakibatkan harta berkenaan tidak dituntut atau diagihkan kepada penerima berhak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat 2024 'Jom Pakat Pi Bendang' di Unit Peladang Parit Haji Ali Alor Pongsu yang turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar.
Idrus berkata AmanahRaya hanya berperanan sebagai pemegang amanah kepada WMD ini sehingga serahan dibuat kepada waris yang sah.
Sementara itu, mengulas mengenai program yang dianjurkan, Idrus berkata AmanahRaya turut menyalurkan sumbangan bagi membantu para petani dan peladang melalui program tanggungjawab sosial.
"Bagi memastikan kelestarian aktiviti pertanian dan pemerkasaan kebajikan pesawah dapat dikekalkan, kita turut menyumbang peralatan dan input pertanian merangkumi set lengkap pam air, pam racun, mesin rumput, rumah burung hantu termasuk baja serta racun rumpai bernilai RM100,000.
"Kita harapkan bantuan ini mampu menyuntik semangat khususnya kepada petani dan peladang untuk terus memainkan peranan yang proaktif dalam merencanakan industri pertanian dan agro makanan," katanya.
Beliau berkata turut dianjurkan ialah kenduri rakyat, gotongroyong pembersihan kawasan, sukan rakyat dan pelbagai lagi aktiviti melibatkan 300 pegawai dan anggota LPP, AmanahRaya serta ahli Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Serai. - DagangNews.com