Ambil kira kebajikan semua pihak dalam perancangan strategik bangunkan Sabah | DagangNews Skip to main content

Ambil kira kebajikan semua pihak dalam perancangan strategik bangunkan Sabah

Bandar Kota Kinabalu, Sabah.
Oleh RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 2 Mac – Perancangan strategik pembangunan negeri Sabah terutama dalam menarik pelabur asing, harus juga mengambil kira kebajikan atau kepentingan semua pihak.

 

Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan Dan Pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Cyril Supain @ Christopher berkata, apa yang menjadi kebimbangan adalah kemasukan pelabur asing tanpa kawalan melalui terma atau syarat-syarat yang jelas.

 

“Kita perlu memastikan semua perjanjian atau persefahaman yang ditandatangani antara dua pihak lebih telus.

 

“Perjanjian yang dimeterai perlu berpihak kepada rakyat, komuniti setempat yang terlibat dan usahawan tempatan untuk jangka masa panjang.

 

“Kemajuan itu harus mengambil kira nilai-nilai kemanusiaan bukan sekadar diukur dari aspek kewangan, peratusan dan angka tetapi juga dilihat dari sudut sosial, kebajikan rakyat, keselamatan serta kesejahteraan rakyat atau komuniti setempat,” tegasnya

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pelan rancangan Sabah Maju Jaya yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada acara The Sabah International Business and Economic Summit (SIBES), baru-baru ini.


 

Cyril Supain @ Christopher
                        Cyril Supain @ Christopher

 


Cyril berkata, perancangan pembangunan Sabah perlu selari dengan mengambil kira kebajikan dan kepentingan semua pihak.

 

Menurutnya, kerajaan harus memastikan keupayaan dari segi sistem sokongan seperti rangkaian bekalan elektrik, air, capaian jalan raya, pelabuhan dan internet.

 

Katanya, segala kekurangan yang dihadapi perlu diperbaiki dan diambil tindakan segera kerana ia adalah pemacu kepada kemajuan yang ingin dicapai kelak.

 

“Syabas kepada kerajaan negeri kerana sudah menyediakan "Blueprint"  untuk negeri ini supaya lebih terus berdaya maju.

 

“Perancangan lima tahun ini meliputi sektor ekonomi utama iaitu pertanian, industri dan pelancongan.

 

‘’Namun, ia juga perlu diikuti dengan pembangunan modal insan dan infrastruktur hijau serta rangkaian yang lebih bertahan lama,” katanya.

 

Cyril berkata, bagi memastikan perancangan ini berjalan lancar, semua pihak harus bersatu dan bersungguh-sungguh memainkan peranan masing-masing. DagangNews.com