KUALA LUMPUR 1 Sept - Econpile Holdings Berhad diunjur berdepan pelbagai cabaran bagi memperbaiki margin keuntungan kesan kenaikan kos bahan binaan serta kekurangan tenaga kerja berterusan.
AmInvestment Bank Research (AmInvestment) berkata, tekanan terus dirasai apabila pemulihan aliran kerja yang lebih lemah daripada jangkaan selain kesukaran mendapatkan projek mega baharu.
Firma penyelidikan itu berkata, pesanan tertunggak Econpile berjumlah RM475.7 juta pada akhir Jun 2023, peningkatan 17% berbanding suku sebelumnya diterjemahkan kepada hasil 1.6x FY23 yang munasabah.
"Terdapat 25 projek yang sedang dijalankan pada pelbagai peringkat penyiapan termasuk kemenangan ketara seperti ICQC @ RTS Link (RM40 juta), Berjaya Residence (RM25 juta), Pusat Perubatan Kota Bahru (RM24 juta) dan Pembangunan Bukit Bangsar (RM21 juta).
"Econpile juga telah memenangi kontrak RM44 juta di Kemboja pada 2HFY23," katanya.
Terdahulu, kumpulan itu berjaya meraih RM43.38 juta kerja substruktur daripada Konzepte + Design Architects untuk dan bagi pihak Regal Path Sdn Bhd.
Kontrak itu adalah bagi menjalankan kerja-kerja substruktur untuk dua blok pangsapuri servis 47 tingkat yang terdiri daripada 453 unit, dengan pembangunan komersil sedia ada terdiri daripada satu blok pusat beli-belah 5 tingkat dengan dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah, di luar Lebuhraya Bukit Jalil.
Projek itu dijangka siap dalam tempoh 15 bulan dari tarikh dimulakan untuk dimaklumkan kemudian.
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan Econpile adalah di bawah jangkaan disebabkan margin yang lemah akibat daripada kos yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Katanya, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih teras FY23 sebanyak RM32 juta, oleh itu, firma itu mengurangkan pendapatan FY24 sebanyak 20%.
"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga wajar (FV) 11 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com