AmInvestment yakin Malaysia akan berjaya laksana NIMP 2030 didorong kedudukan strategik di tengah-tengah laluan dagangan utama | DagangNews Skip to main content

AmInvestment yakin Malaysia akan berjaya laksana NIMP 2030 didorong kedudukan strategik di tengah-tengah laluan dagangan utama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - AmInvestment Bank Research yakin Malaysia akan berjaya melaksanakan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) selepas mengambil kira kedudukan yang strategik di tengah-tengah laluan perdagangan utama di antara timur dan barat.

 

Selain itu, negara juga memiliki tenaga kerja yang boleh berbahasa Inggeris bertaraf tinggi, struktur tadbir urus yang mantap, sumber asli yang banyak, infrastruktur berkualiti, industri serta ekosistem komersial yang sedia ada.

 

Firma penyelidikan itu juga positif terhadap prospek jangka panjang untuk transformasi struktur di Malaysia dengan negara jiran berlumba-lumba untuk mendapatkan pelaburan asing dengan mengambil kira ketegangan perdagangan AS-China melalui penetapan semula dan rakan dagangan mereka.

 

"Bersama dengan pelancaran rangka kerja Ekonomi Madani, inisiatif NIMP 2030 akan memberi impak positif kepada semua sektor negara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

AmInvestment berkata, NIMP 2030 menyasarkan peningkatan nilai tambah pembuatan sebanyak 6.5% setiap tahun kepada RM587.5 bilion menjelang 2030 atau 61% bermula 2022, merangkumi sektor berimpak tinggi dalam E&E, kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa, farmaseutikal dan bahan termaju (mineral dan logam).

 

BACA JUGA: NIMP 2030: Nilai tambahan pembuatan dijangka berkembang 6.5% kepada RM587.5 bilion - PM Anwar

 

Katanya, ia akan memacu unjuran pertumbuhan guna tenaga pada 2.3% setiap tahun, menyediakan mata pencarian untuk 3.3 juta orang menjelang 2030 dengan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi apabila negara maju ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan peningkatan dalam automasi dan kemajuan teknologi.

 

"Inisiatif itu juga akan meningkatkan gaji median dalam sektor pembuatan sebanyak 9.6% setiap tahun, kepada lebih daripada dua kali ganda kepada RM4,510/bulan menjelang 2030 daripada RM1,976/bulan pada 2022," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekal sektor 'overweight' untuk sektor bank, minyak & gas, automotif, pengguna, tenaga, hartanah, REIT dan sektor penjagaan kesihatan dengan pilihan utama ialah CIMB, RHB Bank, Alliance Bank, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Dialog Group, Inari Amertron, Sunway REIT dan DuoPharma BioTech

 

Mereka juga menyukai saham bermodal kecil dengan nama jenama yang kukuh yang boleh mengatasi tekanan inflasiseperti Spritzer dan pengeluar kimia pertanian khusus Ancom Nylex, serta syarikat yang dinilai terlalu rendah seperti Deleum. - DagangNews.com