RODZI AHMAD pada majlis menandatangani Perjanjian Perkhidmatan dan Kerjasama Induk dengan SEAX secara maya.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 31 Mei - Allo Technology Sdn. Bhd (Allo), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal menawarkan penghantaran data yang lebih laju dan besar menerusi sistem daratan rentas sempadan yang selamat.
Ini selepas Allo memeteraikan kerjasama dengan syarikat infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dari Singapura, SEAX Global Pte Ltd (SEAX) untuk meningkatkan ketersambungan yang lebih baik di Malaysia dan negara-negara jiran.
Ketua Pegawai Eksekutif Allo, Rodzi Ahmad berkata, langkah kerjasama itu terutamanya lebih penting ketika ini di mana transformasi digital kian meningkat, sekali gus dapat menyumbang kepada ekonomi digital kedua-dua negara.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti SEAX dalam meningkatkan ketersambungan yang kuat dan lebih banyak tawaran di Malaysia serta negara-negara jiran, di mana akan menyumbangkan lagi kepada ‘backhaul’ perluasan liputan Pelan ‘Allo National Fiberisation’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kerjasama strategik itu bakal menyaksikan perkongsian infrastruktur kedua-dua syarikat yang membolehkan mereka memanfaatkan infrastruktur sedia ada milik masing-masing.
Dalam masa sama, menerusinya, Allo berpeluang untuk mengembangkan ketersambungan yang mampan di seluruh negara menerusi Allo Carrier Network System (ACNS), dengan kelajuan 25.6Tbps dari satu sempadan ke sempadan lain (Thailand-Singapura) dan teknologi 600G Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM).
“Dengan rangkaian berkenaan, kuantiti data yang besar boleh dihantar dengan selamat dalam jarak sangat jauh. Pelaksanaan rangkaian memberikan kapasiti terabit berdasarkan permintaan dalam faktor bentuk yang mudah dikendalikan dan sangat padat,” kata Rodzi lagi.
Sebagai rekod, ACNS direka bentuk sebagai jaringan sepenuhnya yang disasarkan untuk memberikan masa hidup hingga 99,999%, dengan pelbagai laluan lebih daripada 4,500 kilometer pada infrastruktur grid TNB, menjadikannya sistem rentas sempadan yang paling kukuh pernah dibina.
Menerusi infrastruktur yang boleh skala, Allo dalam kedudukan baik untuk memenuhi permintaan teknologi dan perkhidmatan yang kian meningkat seterusnya menjadikannya hab ketersambungan utama di ASEAN.
Kata Rodzi lagi, ACNS mempunyai titik pendaratan di sekitar perimeter semenanjung Malaysia dengan dua pintu masuk antarabangsa dari Thailand ke Singapura.
Oleh itu, ujar beliau, sambungan yang lancar bagi pelanggan di rantau ini akan menjadi lebih baik melalui kerjasama kedua-dua syarikat berkenaan.
Senada beliau, Ketua Pegawai Eksekutif SEAX, Louis Teng melihat gabungan infrastruktur berkenaan membolehkan syarikat itu menawarkan rangkaian merentas sempadan yang bersepadu, konsisten, dan dilindungi dengan baik di Malaysia, Indonesia, dan Singapura dengan keuntungan ekonomi yang lebih besar.
“Kami menjangkakan pertumbuhan permintaan yang tinggi daripada pengguna data mudah alih di Indo-China dan kami berpendapat bahawa kerjasama strategik dengan Allo ini akan membolehkan SEAX mengukuhkan lagi kemampuan dan penawarannya yang sedia ada kepada rakan kongsi di Thailand untuk kemungkinan pengembangan rangkaian di Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam pada masa hadapan.
“Ini seterusnya membolehkan SEAX merealisasikan visi kami sebagai pemudah cara serantau untuk keperluan ketersambungan yang berpusatkan ASEAN,” katanya menerusi kenyataan sama. - DagangNews.com