KUALA LUMPUR 6 Sept - Ancom Nylex Berhad bekerjasama dengan MIMOS Berhad dan kumpulan perlindungan tanaman dan baja Jerman HELM AG bagi menggunakan rumusan pertanian digital melalui SKYFLD, sebuah platform pertanian digital.
Ancom Nylex berkata, SKYFLD merupakan platform pertanian ketepatan HELM AG, yang membolehkan petani memetakan ladang mereka dan memantau keadaan tanaman menggunakan data satelit.
Data itu akan digunakan bagi meningkatkan hasil dengan menyasarkan rawatan baja dan tanaman.
Selain memaksimumkan penggunaan input itu, petani boleh memantau prestasi serta kesihatan biojisim bagi mengenal pasti dan menyiasat zon kritikal dan mengambil tindakan segera.
Pengerusi Eksekutif Ancom Nylex, Datuk Siew Ka Wei berkata, ia akan membantu petani meningkatkan hasil sambil mengurangkan kesan alam sekitar dengan mengurangkan sisa pertanian.
“Kenaikan kos baja dan bahan kimia telah menjejaskan kehidupan petani dengan ketara.
"Kami percaya pertanian digital adalah antara cara terbaik untuk meningkatkan kemampanan mereka dan memastikan pengeluaran makanan yang mencukupi dan keselamatan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MIMOS pada 5 September 2023 memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan HELM AG dan Ancom Nylex bagi penyediaan teknologi satelit dan teknologi kecerdasan pembuatan (AI) terkini kepada petani Malaysia untuk menyokong keselamatan makanan.
MIMOS, HELM AG dan Ancom Nylex akan berkongsi kepakaran mereka dan melancarkan fasa perintis tempatan untuk memastikan jaminan kualiti merentas tanaman dan wilayah, antara kriteria lain di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HELM, Stephan Schnabel berkata, menerusi perkongsian itu, pihaknya menyasarkan peningkatan produktiviti pertanian di seluruh negara, menyokong petani dan seterusnya menyumbang secara sosial dan alam sekitar dengan mengurangkan jejak pertanian.
“Malaysia, dengan pertumbuhan ekonomi dan persekitaran perniagaan yang menggalakkan, adalah hab yang sempurna untuk HELM bagi mengukuhkan lagi kehadirannya di Asia Tenggara.
"HELM akan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam tentang amalan tempatan bagi membantu mengenal pasti kes penggunaan terbaik untuk Malaysia," katanya.
Semetara itu, data yang dikumpul akan diuruskan dengan kerahsiaan dan mematuhi garis panduan kerajaan.
Keputusan daripada fasa pertama perkongsian ini akan disemak menjelang suku pertama 2024. - DagangNews.com