Apakah pilihan saya sebagai pengundi atas pagar pada PRU15?  | DagangNews Skip to main content

Apakah pilihan saya sebagai pengundi atas pagar pada PRU15? 

Pengundi atas pagar harus diyakinkan dengan tindakan dan bukan janjian manis semata-mata. - Gambar hiasan
oleh Fairul Nizam Che Rus

GENDANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dipalu sejurus sahaja Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022. 

 

Pembubaran ini tidaklah begitu ‘surprise’ memandangkan ia dalam jangkaan semenjak beberapa minggu ini dan pengumuman Isnin lepas lebih kepada formaliti walaupun pelbagai spekulasi dan cabaran termasuk surat beracun telah diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong oleh sesama pakatan mereka. 

 

Apa yang lebih menarik dan harus dicongak adalah keputusan PRU15 itu sendiri. Mungkin congakan dan percaturan di atas kertas tidaklah seperti yang dijangkakan seperti PRU14 yang lepas namun harapan yang disuarakan oleh rakyat adalah lebih penting. 

 

Melalui pemerhatian secara dasar dan dalaman, baik dari sembang kedai kopi dan kupasan bawang di media sosial serta grup WhatsApp, kemunculan pengundi atas pagar dilihat lebih menyerlah kali ini.

 

Jika undian diberi kepada parti BN, kemungkinan stabiliti mereka lebih terjamin namun kesan kepada kes-kes di mahkamah pastinya bakal dipertikaikan kelak. Nah, begitu banyak lagi persoalan yang timbul dalam minda fikiran para pengundi atas pagar seperti saya. 

 

Jika undian dipangkah kepada PH, ketuanan Melayu pula akan diperjudikan dengan adanya DAP. Mungkin ia sekadar penceritaan untuk menarik golongan pengundi atas pagar untuk mengundi BN ataupun hanya retorik menarik undian pengundi luar bandar. 

 

Apa jua keputusan PRU15 nanti, harapan saya sebagai rakyat Malaysia termasuk golongan tertentu serta anak muda melalui Undi18 harus diteliti demi kemaslahatan semua rakyat Malaysia.


 

parafrasa

 


Dengan landskap persekitaran ekonomi yang makin tercabar seperti inflasi serta jurang kaya miskin yang makin ketara, bakal kerajaan selepas PRU15 perlu bertindak segera kerana Malaysia serta rakyat telah kerugian peluang kesan dari ketidakstabilan politik bagi tempoh 2018-2022 termasuk bencana COVID-19.

 

Ya, mungkin ada yang beranggapan isu yang terjadi adalah isu sejagat namun sebagai pengundi atas pagar, saya mahu lihat kerajaan bersikap lebih proaktif dalam menangani segala isu-isu berkaitan.

 

Jika ini jaminan untuk bakal kerajaan pasca PRU15, saya yakin ia dapat menarik sokongan yang jitu daripada semua pengundi atas pagar. 

 

Bakal kerajaan yang menerajui pentadbiran juga harus memandang dari sudut yang lebih kreatif dan senantiasa peka terhadap persekitaran yang makin ampuh dan tidak menentu. 

 

Tepuk dada tanya selera, akan tetapi pengundi atas pagar seperti saya harus diyakinkan dengan tindakan dan bukan janjian manis.

 

parafrasa

 


Buntu dan terus buntu dalam menjalankan tugas sebagai warga negara yang masih sayangkan agama, bangsa dan negara, namun, revolusi dan reformasi dalam menggerakkan negara harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

 

Mungkin PRU15 adalah platform terbaik untuk merealisasikan hasrat kita sebagai rakyat Malaysia?

 


Fairul Nizam Che Rus mengisytiharkan dirinya Pengundi Atas Pagar setakat ini.