Apex Securities kekal saranan 'pegang' bagi Axiata, selepas ambil kira impak bercampur protes di Bangladesh | DagangNews Skip to main content

Apex Securities kekal saranan 'pegang' bagi Axiata, selepas ambil kira impak bercampur protes di Bangladesh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Apex Securities mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Axiata Group Bhd dengan harga sasaran (TP) lebih rendah, RM2.55 sesaham selepas mengambil kira impak bercampur daripada protes besar-besaran di Bangladesh.

 

Katanya, peningkatan protes itu bagaimanapun dijangka memberi impak minimum kepada Edotco yang dimiliki sebnayak 63% oleh Axiata tetapi pada masa sama menjangkakan perintah berkurung akan memberi kesan besar kepada Robi disebabkan kebergantungannya kepada sektor mudah alih prabayar.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Robi menyumbang 18% kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan kumpulan.

 

"Walaupun pasaran Bangladesh menyumbang 33% daripada hasil Edotco, kami menjangkakan operasi menara Edotco kekal stabil disebabkan oleh keselamatan yang disediakan oleh kontrak jangka panjang, yang memastikan hasil yang konsisten.

 

"Perkhidmatan jalur lebar negara itu sebahagiannya sudah dipulihkan selepas penutupan elama lima hari tetapi perkhidmatan mudah alih kekal tidak tersedia.

 

"Kami menyemak semula ramalan pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, menurunkan unjuran sebanyak 3.7% pada masa ini, sementara menunggu penjelasan selanjutnya," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Apex Securities berkata, Axiata dijangka terus berdepan risiko geopolitik, makroekonomi dan kawal selia, serta pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) dan kadar faedah yang tinggi.

 

Robi Axiata PLC, menjalankan perniagaan sebagai Robi, ialah pengendali rangkaian mudah alih kedua terbesar di Bangladesh.- DagangNews.com