Apex Securities unjur untung bersih FY24 Ramssol meningkat 55.6% kepada RM10.2 juta | DagangNews Skip to main content

Apex Securities unjur untung bersih FY24 Ramssol meningkat 55.6% kepada RM10.2 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Apex Securities mengunjurkan untung bersih Ramssol Group Bhd bagi FY24 meningkat sebanyak 55.6% kepada RM10.2 juta manakala hasilnya meningkat 75.3% kepada RM53.5 juta.

 

Katanya, unjuran itu disokong oleh penembusan ke dalam pasaran baharu dalam segmen teknologi insan (PeopleTech) selain sumbangan sulung daripada segmen perniagaan teknologi pendidikan (EduTech), teknologi pemasaran (MarTech) dan teknologi kenderaan (AutoTech).

 

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan kadar cukai berkesan sebanyak 15% pada FY24 dan FY25.

 

"Walaupun penambahbaikan status kewangan kumpulan kekal secara berurutan, Ramssol dijangka mengekalkan kunci kira-kira yang stabil.

 

"Hasil yang diperoleh daripada penempatan persendirian pada 2023 menyaksikan sejumlah RM12 juta diperuntukkan bagi pembayaran balik pinjaman bank," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, untung bersih teras kumpulan itu adalah antara RM3.7 juta hingga RM6.8 juta pada FY21 hingga FY23 disebabkan penularan wabak COVID-19.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu mencatatkan pemulihan pantas dengan mencatatkan untung bersih teras sebanyak RM6.6 juta atau peningkatan sebanyak 73.3% pada FY23.

 

Apex Securities menyukai Ramssol kerana rancangan pengembangannya yang agresif didorong kemajuan teknologi dalam usaha meningkatkan kecekapan serta produktiviti dalam pengurusan sumber manusia (HCM), usaha pendigitalan pemasaran serta menceburi perniagaan pendidikan dalam usaha merangsang kesedaran amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selaras dengan permintaan industri.

 

"Memandangkan fokus terletak kepada pengembangan perniagaan, Ramssol tidak akan menggunakan dasar dividen rasmi namun, kami menjangkakan mereka boleh memberikan dividen sebanyak 0.5 sen sesaham pada FY24.

 

"Kami memulakan liputan terhadap kumpulan itu dengan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) 56 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com