Pemulihan pasaran semikonduktor, CIMB Securities ramal sektor teknologi catat pertumbuhan pendapatan dua digit | DagangNews Skip to main content

Pemulihan pasaran semikonduktor, CIMB Securities ramal sektor teknologi catat pertumbuhan pendapatan dua digit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Jan - Sektor teknologi dijangka menyaksikan pertumbuhan pendapatan terkompaun dua digit sehingga 2026 dipacu peningkatan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), kata CIMB Securities.

 

Katanya, perolehan sektor teknologi diunjur berkembang pada kadar purata tahunan 13% dari 2025 hingga 2026, berbanding 1% pada 2024, dipacu pemulihan dalam permintaan industri semikonduktor, kepelbagaian rantaian bekalan ke ASEAN dan penambahan inventori.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peralatan ujian automatik (ATE) dijangka mendahului dengan pertumbuhan keuntungan 41% tahun ke tahun pada 2025, diikuti pemasangan dan ujian semikonduktor penyumberan luar (OSAT) pada 26% dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) pada 23%.

 

"Kami mengunjurkan sektor teknologi Malaysia mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun keuntungan bersih teras tiga tahun (2023 hingga 2026) sebanyak 17%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Bagaimanapun, CIMB Securities percaya, segmen OSAT dan EMS berkemungkinan akan mengatasi segmen ATE pada separuh pertama 2025, kerana rantaian bekalan semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E) dijangka menumpukan pada peningkatan penggunaan kapasiti dan pengurangan kapasiti sedia ada sebelum memasuki kitaran pengembangan baharu.

 

Ia mengekalkan pendirian "overweight" bagi sektor teknologi dengan pilihan utamanya termasuk Malaysian Pacific Industries Bhd, Genetec Technology Bhd dan VS Industry Bhd.

 

Firma penyelidikan itu menyukai MPI kerana pendedahannya kepada sektor OSAT, yang boleh mendapat manfaat daripada perbelanjaan modal yang lebih tinggi daripada penyedia perkhidmatan awan yang didorong oleh AI generatif dan pemulihan dalam pasaran pelayan.

 

Bagi Genetec, syarikat penyelidikan itu menjangkakan saham itu mendapat manfaat daripada pertumbuhan dalam pemasangan kenderaan elektrik (EV) dan pembuatan komponen, didorong oleh pelanggan EV terkemuka Amerika Utara.

 

"Bagi segmen EMS, kami menyukai VSI sebagai proksi untuk kepelbagaian rantaian bekalan, berikutan jejak pembuatannya yang semakin meningkat di seluruh Asia Tenggara dan potensi pertambahan margin," katanya.

 

CIMB Securities berkata sektor itu berdepan beberapa cabaran termasuk kelewatan dalam pemulihan permintaan semikonduktor, pembiayaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang tidak mencukupi, ketegangan geopolitik, kekurangan tenaga kerja dan peningkatan nilai ringgit berbanding dolar AS.- DagangNews.com