KUALA LUMPUR 9 Jan - CJ Century Logistics Holdings Bhd melantik Kim HyunChul sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, menggantikan Kim JinMok yang meletakkan jawatan selepas hampir dua tahun berkhidmat dengan syarikat itu.
Syarikat penyedia logistik itu memaklumkan, pelantikan HyunChul, 47, sebagai Timbalan CEO berkuat kuasa pada 8 Januari 2025.
Beliau telah berkhidmat dengan CJ Logistics Corporation yang beribu pejabat di Seoul, Korea Selatan sejak Disember 2004.
"HyunChul memulakan kerjayanya sebagai pengurus dalam pasukan operasi pengangkutan dari Disember 2004 hingga Jun 2014.
"Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Naib Presiden Bahagian Audit Perniagaan dari Julai 2014 hingga Disember 2023, sebelum menjawat jawatan Naib Presiden Pasukan Inovasi Global dari Januari 2024 hingga Oktober 2024," menurut syarikat dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia.
Dari Oktober 2024 hingga Disember 2024, beliau berkhidmat sebagai Naib Presiden di CJ Logistics Corporation.
Dalam pengumuman berasingan, CJ Century menjelaskan, peletakan jawatan JinMok adalah disebabkan perubahan pencalonan pengarah oleh CJ Logistics Asia Pte Ltd, pemegang saham utama CJ Century Logistics.
JinMok dilantik sebagai Timbalan CEO kumpulan itu pada Mei 2023.
Saham CJ Century ditutup tidak berubah pada 22 sen semalam, memberikan nilai pasaran sebanyak RM128 juta.
Sepanjang tahun lalu, kaunter tersebut mencatatkan penurunan sebanyak 44%. - DagangNews.com