APMM, Coast Guard Amerika Syarikat kongsi kemahiran jayakan latihan bersama | DagangNews Skip to main content

APMM, Coast Guard Amerika Syarikat kongsi kemahiran jayakan latihan bersama

Kehadiran USCG Munro mengeratkan hubungan antara dua negara.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Hubungan baik Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dalam keselamatan maritim diperkukuhkan menerusi penglibatan latihan antara agensi dua negara terbabit.

 

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan US Coast Guard (USCG) telah berkongsi kepakaran kedua-dua agensi melalui dua sesi latihan khas iaitu Damage Control and Fire Fighting (DCFF) dan Tactical Interdiction Training.

 

Latihan yang diadakan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) melibatkan 23 pegawai dan anggota APMM bersama 16 kru termasuk pegawai kapal USCG Munro.

 

Latihan ini merupakan antara kerangka program Sea Engagement yang diadakan oleh USCG Munro ketika berada selama tiga hari di negara ini.

 

Latihan

 

Latihan

 

Melalui latihan yang diadakan bukan sahaja dapat meningkatkan hubungan diplomatik kedua-dua buah negara, malah melipatgandakan kepakaran pengoperasian undang-undang di laut.

 

Ini termasuk di kawasan sempadan perairan negara.

 

Turut hadir menyaksikan latihan ini Kapten USCG Munro, Rulla F. Diesher, wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Connie Yong serta pegawai-pegawai AMSAS. 

 

USCG Munro yang bersaiz seperti frigat ini merupakan kapal peronda maritim kelas Legend yang berjumlah sembilan buah kesemuanya.

 

Latihan
Anggota APMM dan kru USCG Munro semasa mengadakan latihan memadam kebakaran di AMSAS Kuantan, Pahang.

 

Kapal ini yang mula beroperasi pada 2015 berkekuatan 111 kru termasuk 15 pegawai serta boleh membawa 148 anggota lain untuk sebarang misi.

 

Sebelum tiba di Malaysia, USCG Munro berada di Yokosuka, Jepun bagi lawatan pelabuhan antarabangsa pertamanya semasa ditempatkan di Indo-Pasifik.

 

USCG Munro beroperasi sebagai sebahagian daripada Pasukan Petugas (CTF) 71 iaitu pasukan permukaan utama dalam Armada Ke-7 AS. - DagangNews.com