Arteon R-Line milik anda pada harga RM220K | DagangNews Skip to main content

Arteon R-Line milik anda pada harga RM220K

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan model yang ditunggu-tunggu ramai, Arteon R-Line serba baharu ke pasaran tempatan. Disifatkan sebagai satu karya terbaik, Arteon pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada 2017 dan kini dipasang tempatan di kilang Wvolkswagen di Pekan, Pahang.  

Fastback lima pintu itu merupakan model utama Volkswagen yang menawarkan kombinasi terbaik di antara reka bentuk avant-garde dengan pengendalian dinamik. Namanya menjadi refleksi terbaik terhadap penampilannya – ‘Art’ menerangkan tentang garis fastback yang harmoni dan emosional, sementara ‘eon’ pula menyerlahkannya sebagai model premium Volkswagen. 

Arteon direka untuk merangsang emosi dan meningkatkan rasa ingin memilikinya. Digabungkan dengan kemasan R-Line yang sporty, visual kereta ini memang sangat cantik jika dilihat dari mana-mana sudut sekali pun.  Varian Volkswagen R-Line mengambil inspirasi daripada rangkaian model berprestasi tinggi, Volkswagen R.
 

art


Pakej R-Line yang dipasang pada jentera ini memberikannya gayaan lebih sporty, pada masa sama mengekalkan nilainya yang hebat. Sebagai sebuah model R-Line, penampilan luaran Arteon yang menarik perhatian itu diserlahkan menerusi kemasan krom hadapan agresif, lencana R-Line, lampu utama LED, lampu belakang dengan indikator dinamik, spoiler belakang berwarna hitam, rim aloi Montevideo bersaiz 19 inci serta kemasan krom pada bahagian bawahnya.

Arteon R-Line mempunyai rekaan yang selari dengan fungsi. Ia bukan sekadar tampil menawan, malah menawarkan ruang but seluas 563 liter, terbaik dalam kelasnya yang boleh diakses melalui fungsi but Easy Open.
 

art


Dynamic Chassis Control (DCC) dengan Driving Mode Selection membolehkan pemandu menukar dan memilih 15 gaya pemanduan yang diingini, sambil terus terhubung dengan Digital Cockpit serta App-Connect Apple Car Play tanpa wayar. Aspek keselesaan dipertingkatkan lagi dengan tempat duduk 14-talaan yang dibalut dengan kulit Nappa gayaan karbon bersama fungsi urutan.

Ciri-ciri penting yang lain termasuklah sistem audio premium Dynaudio, terdiri daripada 11 unit pembesar suara dan subwoofer 700-watt serta kamera 360°.

 

art


Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter semasa memperkenalkan Arteon R-Line serba baharu ke pasaran Malaysia berkata, sebagai model utama VPCM yang baru, Arteon nyata menaikkan lagi jenama Volkswagen kerana ia memiliki rekaan yang cantik, berprestasi tinggi dan memiliki fungsi terbaik. Pada masa yang sama menawarkan eksklusiviti. Dengan pakej R-Line, ia membuatkan Arteon lebih sporty.
 

Arteon R-Line serba baharu ditawarkan pada harga RM225,490 dengan pakej penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun. Dengan pengecualian cukai yang ditawarkan sekarang, harga cadangan Arteon R-Line seba baharu sehingga 31 Disember 2020 ialah RM220,043.28 sebuah. - DagangNews.com 

 

art