KUALA LUMPUR 13 Jan - Sebanyak RM100 bilion akan dilaburkan dalam ekonomi Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang, bagi menyokong dua projek transformasi utama, iaitu pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu dan pelabuhan laut dalam di Kuching.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dua projek berkenaan akan meletakkan Sarawak sebagai kuasa ekonomi yang sedang meningkat di rantau ini.
"Projek Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang akan dibangunkan dengan kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk berfungsi sebagai pintu gerbang strategik bagi eksport dan import tenaga.
"Selaras dengan Pelan Gas Sarawak, pelabuhan ini akan memudahkan pembekalan hidrogen hijau, eksport gas asli cecair (LNG) dan sumber tenaga lain, sekali gus memacu peralihan Sarawak ke arah tenaga boleh diperbaharui," katanya pada Majlis Amanat Perdana 2025 yang diadakan di Borneo Convention Centre Kuching, hari ini, seperti laporan The Borneo Post.
Abang Johari berkata, pelabuhan tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan terkini dan teknologi pintar bagi memastikan kecemerlangan operasi dan kelestarian.
Jelasnya, pelabuhan berkenaan dijangka beroperasi pada tahun 2030 dan akan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam bidang tenaga lestari dan perdagangan.
Ketua Menteri itu juga berkata, keputusan pentadbirannya untuk melabur dalam Pelabuhan Miri akan memudahkan pengendalian jumlah kargo yang lebih besar.
"Langkah ini akan meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuhkan peranan Pelabuhan Miri sebagai pelabuhan strategik untuk perdagangan antarabangsa dan hubungan serantau," jelasnya.
Berkaitan belanjawan negeri terbesar berjumlah RM15.8 bilion yang dibentangkan tahun lalu, beliau menjelaskan, peruntukan itu mencerminkan komitmen negeri dalam mendorong perubahan dan kemajuan ekonomi.
Tambahnya, semua agensi perlu kekal fokus dalam memastikan pelaksanaan program dan projek dengan cepat dan cekap.
Abang Johari turut menyeru agar semua pihak menyelaraskan usaha mereka dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang merangkumi tempoh 2026 hingga 2030.
"Persediaan untuk RMK-13 sedang dijalankan, dengan rundingan yang meluas dalam kalangan kementerian, industri dan masyarakat untuk memastikan strategi yang inklusif dan menyeluruh.
"Proses ini juga melibatkan semakan terhadap pencapaian RMK-12," katanya.
Selain itu beliau berkata, Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) yang terdiri daripada ahli-ahli Kabinet, ahli akademik, pemain industri dan pegawai kerajaan juga akan dipanggil untuk membincangkan dan memuktamadkan strategi serta hala tuju di bawah RMK-13.
Beliau berkata, usaha di bawah RMK-13 akan kekal pelbagai dalam mencapai hasil berimpak tinggi yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030.
"Kami menyedari cabaran seperti perubahan iklim, jurang ekonomi dan ketidaktentuan global yang mendatang.
“Oleh itu, tumpuan RMK-13 akan diberikan kepada peningkatan ketahanan ekonomi melalui perubahan dan kepelbagaian, mempercepatkan peralihan digital, memupuk keterangkuman sosial dan memastikan kelestarian serta keadilan untuk semua," tambahnya. - DagangNews.com