Awantec sekali lagi kemuka rayuan mengenai pelan penyusunan semula | DagangNews Skip to main content

Awantec sekali lagi kemuka rayuan mengenai pelan penyusunan semula

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Ogos - AwanBiru Technology Bhd (Awantec) akan sekali lagi mengemukakan rayuan kepada Bursa Securities mengenai pelan penyusunan semula agar terus tersenarai di Pasaran Utama.

 

Kumpulan itu memberi jaminan kepada pemegang saham mereka bahawa syarikat itu sedang berusaha menyediakan jawapan sewajarnya kepada Bursa Malaysia selepas permohonan lanjutan masa untuk mengemukakan pelan penyusunan semula kumpulan itu ditolak.

 

Syarikat itu juga perlu memberikan representasi bertulis dalam tempoh lima hari berhubung mengapa penggantungan tidak boleh dikenakan ke atas dagangan sekuriti mereka selain mengapa sekuriti mereka tidak seharusnya dinyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Securities.

 

"Syarikat yakin bahawa perjalanan transformasi kami ke dalam perniagaan awan dipandu oleh dua tonggak, iaitu segmen perisian & perkhidmatan dan bakat, terus memacu pertumbuhan perniagaan.

 

"Kami secara konsisten mengekalkan ketelusan dalam pendedahan kami dan terus menegakkan prinsip tadbir urus korporat yang baik seperti yang dibuktikan dengan menjadi ahli Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia sejak 2014," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dagangan hari proprietari (PDT) dan jualan pendek intraday (IDSS) Awantec telah digantung sehingga hari ini. 

 

Dalam satu pengumuman khas, Bursa Securities berkata, penggantungan itu disebabkan harga terakhir dilakukan bagi sekuriti yang diluluskan jatuh lebih daripada 15% daripada harga rujukan.

 

Jualan pendek di bawah PDT dan IDSS hanya akan diaktifkan pada hari dagangan berikutnya pada pukul 8.30 pagi.
 

Terdahulu, permohonan lanjutan untuk mengemukakan pelan penyusunan semula Awantec telah ditolak selepas lanjutan enam bulan diberikan oleh Bursa Malaysia, tamat tempoh pada 28 Julai 2023.

 

Bagaimanapun, penolakan itu adalah berdasarkan ketidakupayaan Awantec untuk mempamerkan kemajuan yang ketara ke arah penyiapan dan penyerahan pelan penyusunan semula.

 

Bursa Securities mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Awantec pada 16 Ogos.

 

Notis itu menggariskan potensi penggantungan dan penyahsenaraian sekuriti Awantec daripada Senarai Rasmi Bursa Securities. - DagangNews.com