Axiata-Telenor meterai perjanjian bentuk Celcom Digi Berhad bernilai RM50 bilion | DagangNews Skip to main content

Axiata-Telenor meterai perjanjian bentuk Celcom Digi Berhad bernilai RM50 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kumpulan Axiata Berhad (Axiata), Telenor Asia Pte Ltd (Telenor) dan Digi.Com Berhad (Digi) mengumumkan bahawa mereka berjaya menyelesaikan proses ketekunan wajar dan telah memeterai perjanjian urus niaga bagi cadangan penggabungan Celcom Axiata Berhad dan Digi (MergeCo).

 

Dijangka menjadi antara lima syarikat terbesar disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) berdasarkan penguasaan pasaran, MergeCo bakal mencatatkan nilai ekuiti pra-sinergi yang digabungkan mencecah hampir RM50 bilion, menurut Axiata.

 

“Axiata dan Telenor bakal menjadi rakan niaga setara dengan masing-masing menguasai 33.1% pegangan di dalam MergeCo, dan MergeCo akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

“Fasa cadangan penggabungan akan melibatkan kerja terperinci berkaitan sinergi dan pelan perniagaan MergeCo dan sasaran awal menunjukkan potensi nilai pertambahan menerusi sinergi kos dan perbelanjaan modal sekitar RM8 bilion pada nilai asas bersih semasa,” jelas kumpulan dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Pemeteraian perjanjian itu adalah susulan pengumuman pada 8 April 2021 lalu yang menyatakan Axiata dan Telenor dalam perbincangan lanjut bagi cadangan penggabungan untuk anak syarikat telekomunikasi (telco) masing-masing. 

 

Berdasarkan pro forma, penggabungan Celcom dan Digi akan membentuk 19 juta pelanggan dengan pendapatan sekitar RM12.4 bilion, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bernilai RM5.7 bilion, keuntungan selepas cukai (PAT) sejumlah RM1.9 bilion dan aliran tunai bebas sejumlah RM4.0 bilion.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, kumpulan itu menunjukkan kemajuan menerusi penggabungan yang sedang berlangsung dengan Telenor dan Digi, sejajar dengan hasrat dan komitmen mereka untuk memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan dalam usaha pendigitalan ekonomi negara. 

 

Izzaddin Idris
Izzaddin Idris

 

“Kami berharap dapat memberikan nilai tambah dan pilihan yang lebih baik yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, terutamanya untuk merapatkan jurang di kawasan luar bandar serta membantu perniagaan kediaman dan perusahaan memanfaatkan peluang baru dalam persekitaran digital yang pesat ini.

 

"Mengandaikan kelancaran peralihan, dalam tempoh pasca integrasi, kami menjangkakan peningkatan dalam EBITDA dan margin aliran tunai dalam entiti gabungan seiring dengan komitmen berterusan kami untuk memaksimumkan pembayaran dividen bagi para pemegang saham kami,” ujar beliau.

 

MergeCo yang kelak dinamakan sebagai Celcom Digi Berhad bakal menyaksikan penyatuan skala, pengalaman, kompetensi dan kekuatan kewangan bagi kedua-dua kumpulan telco global dengan pengalaman pasaran untuk kedua-dua syarikat tempatan yang mampan. 

 

Penggabungan tersebut dikatakan bakal merancakkan lagi perkembangan 5G, internet kebendaan (Internet of Things, IoT) dan pengkomputeran awan (cloud computing) yang bakal memacu proses digitalisasi merentasi seluruh pelusuk masyarakat.

 

Tambah kenyataan itu, MergeCo juga menyasarkan untuk melakukan pelaburan sehingga RM250 juta bagi tempoh lima tahun akan datang bagi membangunkan Pusat Inovasi bertaraf dunia yang bakal ditubuhkan di Kuala Lumpur. 

 

Pusat itu bertujuan menjadi pemangkin kepada transformasi digital Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), mengukuhkan ekosistem tempatan dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju evolusi digital antarabangsa. 

 

Baca : Sumber dedah perjanjian Celcom-Digi dimeterai seawal hari ini 

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Asia di Kumpulan Telenor, Jørgen C. Arentz Rostrup berharap dapat bekerjasama dengan Axiata untuk merealisasikan potensi syarikat yang dicadangkan untuk penggabungan itu. 

 

Jørgen C. Arentz Rostrup
Jørgen C. Arentz Rostrup

 

Kata beliau, industri telekomunikasi sedang berada dalam peralihan digitalisasi yang menarik, dan teknologi baharu akan mengubah cara mereka berkembang dan memberikan perkhidmatan kepada sektor swasta dan awam. 

 

Menerusi makluman awal, Axiata dan Telenor bersepakat mencalonkan Izzaddin sebagai Pengerusi, Jørgen C. Arentz Rostrup sebagai Timbalan Pengerusi, Idham Nawawi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Albern Murty sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MergeCo tertakluk kepada kelulusan daripada pemegang saham entiti gabungan itu.

 

Dalam aspek kepentingan nasional, Axiata dan pemegang saham institusi utama Malaysia dijangka memiliki lebih daripada 51% dalam MergeCo setelah selesai. 

 

Di akhir proses ini, penggabungan Celcom dan Digi akan memberikan Axiata saham baharu yang diterbitkan di Digi, mewakili 33.1% daripada modal saham terbitan Digi yang diperbesar, pertimbangan tunai sebanyak RM2.0 bilion di mana kira-kira RM1.7 bilion daripada Digi sebagai hutang di MergeCo dan sekitar RM300 juta dari Telenor sebagai sebahagian daripada pemerataan pemilikan berdasarkan syarat penggabungan yang dicadangkan.

 

Keseluruhan transaksi adalah tertakluk kepada persetujuan pemegang saham Axiata dan Digi, pengesahan dan penerimaan kelulusan peraturan dan terma serta syarat lain yang tertakluk dan cadangan penggabungan itu dijangka dapat diselesaikan pada suku kedua 2022 (2Q22). - DagangNews.com