DALAM situasi limbungan tempatan berhempas pulas menyiapkan kapal tempur pesisir (LCS) pertama, KD Maharaja Lela yang lama tergendala, tiba-tiba muncul berita Mynmar melancarkan kapal frigat terbesarnya pada Selasa lalu.
Frigat yang diberi nama UMS King Thalun ini merupakan kapal perang pelbagai peranan dengan saiz dan berat lebih besar berbanding KD Maharaja Lela.
Ia mempunyai keupayaan peperangan tiga dimensi iaitu setanding dengan Maharaja Lela.
Pembinaan frigat sepanjang 135 meter itu dengan berat 3,500 tan bermula pada Mac 2017 di bawah seliaan Tentera Laut Mynmar di limbungan perkapalan milik kerajaan iaitu Thnylin Naval Dockyard.
Pelancaran frigat UMS King Thalun telah mendapat liputan meluas media pertahanan antarabangsa menerusi sumber berita yang dikongsikan negara itu.
Dilengkapi dengan sistem dan teknologi senjata moden, ia boleh mencapai kelajuan 30 batu nautika sejam sejajar dengan keperluan operasi tentera laut abad ke-21.
Kejayaan menyiapkan pembinaan kapal ini mencatat sejarah tersendiri kerana menjadi kapal perang terbesar dan termoden yang dibina dalam negara.
Ini kerana walaupun dikenakan sekatan ekonomi antarabangsa termasuk melibatkan pembelian ketenteraan, Myanmar masih mampu mendapatkan sumber-sumber melalui saluran lain.
Tempoh kira-kira 7 tahun menyiapkan frigat sebesar ini dan moden dianggap luar biasa bagi negara yang mundur seperti Mynmar.
Ini kerana pada tahun 2017 iaitu semasa projek frigat Mynmar bermula, kapal LCS KD Maharaja Lela telah pun dilancarkan dan sepatutnya siap 2 tahun kemudian.
Sehingga projek LCS diselamatkan oleh kerajaan pada tahun 2022 pun isu rekabentuk terperinci kapal tersebut tertangguh dan terpaksa mengambil masa lebih panjang disiapkan.
Status kemajuan semasa kapal tersebut adalah melebihi 70% dan mengikut jangkaan, KD Maharaja Lela akan melalui ujian pelabuhan serta ujian di laut selama 2 tahun bermula tahun depan
Sepertimana projek LCS TLDM yang dibina berasaskan kapal kelas Gowind dari Perancis, begitu juga Mynmar yang mana frigat ini dipercayai mendapat sokongan China.
Berdasarkan rekaan frigat, ia juga seakan-akan kapal perang negara tembok besar termasuk beberapa komponen dan sistem persenjataan pada kapal.
Frigat ini dilengkapi silo sistem pelancar peluru berpandu pertahanan udara secara menegak (VLS) HQ-16 buatan China.
Ia juga mempunyai peluru berpandu antikapal jenis C-802 (YJ-82) yang boleh menembak ke sasaran sejauh 180 kilometer (km).
Kapal UMS King dibina secara modular dengan 34 blok utama dan 15 struktur kapal yang disiapkan secara berasingan sebelum dicantum.
Kaedah ini membolehkan proses pembinaan kapal lebih cepat kerana bahagian-bahagian kapal dibina secara serentak.
Sebagai sebuah negara maritim, Mynmar sejak 10 tahun lalu dilihat giat membangunkan keupayaan tentera laut bagi memperkasakan keselamatan negara.
Lebih 70% daripada perdagangan antarabangsa negara itu melalui laut manakala selebihnya melalui sempadan darat.
Dengan garis pantainya sepanjang 1,260 batu nautika, kerajaan negara itu memberikan perhatian terhadap kekuatan angkatan lautnya.
Sepertimana negara ASEAN lain, Mynmar juga mempunyai isu keselamatan maritim khususnya dengan negara jirannya, Bangladesh.
Sehingga kini Mynmar telah membina lebih 10 buah kapal perang pelbagai jenis dan saiz sekali gus memperlihatkan keupayaan industri pertahanan negara tersebut.
Apa yang mengejutkan ialah Mynmar sebagai negara termiskin dalam kalangan negara-negara ASEAN masih mampu membangunkan kelengkapan ketenteraan secara berdikari.
Kemampuan tersebut sepatutnya membuatkan negara dengan ekonomi yang berganda lebih maju seperti Malaysia merasa iri hati dan tercabar.
Jika industri pertahanan Mynmar boleh mempamerkan keupayaan menyiapkan sebuah frigat, kita sepatutnya lebih daripada itu. - DagangNews.com