B40 dan peniaga kecil, moratorium dilanjutkan automatik - Zafrul | DagangNews Skip to main content

B40 dan peniaga kecil, moratorium dilanjutkan automatik - Zafrul

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Golongan B40 dan peniaga kecil mendapat lanjutan moratorium bank secara automatik manakala golongan M40 pula hanya perlu buat pengisytiharan sendiri tanpa perlu dokumen dan sebagainya. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi rakyat yang tidak tergolong dalam segmen-segmen di atas, mereka masih boleh mendapatkan moratorium dengan memohon kepada pihak bank masing-masing.

 

Katanya, moratorium pinjaman bank bukan hanya untuk sebilangan kecil rakyat dan ia tersedia untuk semua rakyat yang terkesan. 

 

"Tidak kira sama ada daripada golongan B40, M40 atau T20, semuanya layak mendapat bantuan dalam bentuk penangguhan, pengurangan atau penjadualan semula pinjaman," katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Parlimen hari ini.


 
Jelasnya, dalam Belanjawan 2021 pula, bantuan ini ditambahbaik lagi sekali buat golongan B40, PKS Mikro dan M40 yang terkesan.

 

Menurut BNM, katanya, pada Oktober, sekitar 85% peminjam bank telah menyambung semula bayaran balik pinjaman mereka.

 

"Namun, kerajaan sedar masih ada kebimbangan membiayai hutang disebabkan penularan wabak COVID-19. Oleh itu, bergerak ke hadapan, kerajaan memberi komitmen akan terus mengadakan libat urus bersama institusi perbankan. 

 

"Kami akan memastikan ketersediaan untuk membantu rakyat dan perniagaan sekiranya keadaan bertambah mencabar," katanya.

 

Bagaimanapun, menurut Tengku Zafrul, adalah adil mereka yang kaya dan lebih dari mampu untuk membayar hutang diberikan moratorium.

 

Beliau berkata, bukankah lebih baik mereka membayar hutang supaya duit ini masuk ke sistem perbankan untuk menjana lebih banyak pinjaman khususnya kepada perniagaan dan industri yang menampung dan mencipta pekerjaan untuk rakyat. 

 

"Inilah antara sebabnya mereka yang mampu, wajar membayar balik pinjaman mereka," katanya. 

 

Beliau memberitahu, selaras dengan Pakej Prihatin, Malaysia menjadi negara pertama di dunia di mana institusi perbankannya telah memberikan moratorium automatik kepada semua peminjam bank. 

 

Nilai yang dianggarkan adalah hampir RM100 bilion untuk 6 bulan.

 

Katanya, setelah tamatnya moratorium automatik, Bank Negara Malaysia (BNM) bersama institusi perbankan telah melanjutkan program moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman bermula Oktober 2020. 
 

"Lebih 700,000 permohonan telah diterima, dan daripada jumlah itu, 98% peminjam telah menerima bantuan moratorium," katanya. - DagangNews.com