Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Sebagai langkah memperkukuh ekonomi dan teknologi hijau di negara ini, kerajaan memberi tumpuan khas terhadap agenda kelestarian dalam Bajet 2021 dan bakal membuat pengumuman penting berhubung perkara tersebut.
Mengambil iktibar daripada pandemik COVID-19, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya Malaysia perlu mengkaji semula agenda pembangunan negara.
Ini termasuk tumpuan terhadap pembangunan kelestarian dan teknologi hijau yang memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara.
“Pendekatan pemulihan hijau bukan sahaja memacu ekonomi dan kesejahteraan sosial, malah mendorong lintasan pembangunan negara ke arah karbon rendah dan ketahanan iklim.
“Malaysia, sebagai sebuah negara yang dianugerahkan dengan sumber semula jadi yang kaya, menjadi salah satu daripada 12 negara biodiversiti besar di dunia dengan permulaan awal dalam teknologi hijau seharusnya memanfaatkan pemberian ini untuk agenda pemulihan hijau yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian di Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eco Antarabangsa Malaysia (IGEM) edisi ke-11 hari ini.
IGEM ke-11 buat julung kalinya dianjurkan secara maya yang menjadi sebuah platform untuk menarik penyertaan domestik dan antarabangsa ke dalam industri hijau.
Tambah Muhyiddin, COVID-19 dan perubahan iklim (climate change) yang digelarkan sebagai ‘twin Cs’ merupakan ancaman global yang memerlukan penyelesaian sama di peringkat antarabangsa.
Jelasnya, seperti mana dunia memerlukan vaksin COVID-19, perubahan iklim juga memerlukan penyelesaian segera.
“COVID-19 telah mencabar kita untuk membina ketahanan ketika menghadapi pandemik ini dan jalan di hadapan perlulah di landasan pemulihan hijau.
“Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika ini merancakkan Rancangan Kelestarian Alam Sekitar di Malaysia ke arah pembangunan mampan.
"Dokumen ini mempunyai sasaran dan petunjuk jelas terhadap landasan hijau dan mampan bermula tahun 2020 hingga 2030,” kata Muhyiddin. - DagangNews.com