KUALA LUMPUR 9 Julai - Banci Pertanian 2024 penting dalam menghasilkan penanda aras baharu bagi mewujudkan pangkalan data yang komprehensif dan boleh dipercayai.
Pesuruhjaya Banci Pertanian, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, liputan banci merangkumi empat subsektor iaitu Tanaman, Ternakan, Perikanan & Akuakultur dan Perhutanan & Pembalakan.
"Penanda aras baharu ini penting untuk menyediakan data asas merangkumi pelbagai aspek pertanian mengikut piawaian yang standard dan klasifikasi yang seragam; memudahkan perbandingan dan penanda aras antarabangsa; memastikan sumber yang terhad digunakan dengan berkesan untuk menyokong pembangunan pertanian; dan merangka dasar dan strategi yang berkesan berasaskan bukti untuk menangani cabaran dan memanfaatkan peluang dalam pertanian," katanya dalam kenyataan.
Mohd Uzir pada Ahad lalu melancarkan Majlis Permulaan Operasi Lapangan Banci Pertanian 2024 di Kangar, Perlis.
Banci Pertanian 2024 itu akan dijalankan sehingga 10 Oktober 2024.
Mohd Uzir sendiri turut melawat pengusaha penanaman pegaga, Johari Din yang mengusahakan tanaman herba itu di tanah berkeluasan 1.42 ekar, dengan hasil tuaian dua kali setahun.
Beliau yang juga Ketua Pengarah DOSM dalam pada itu menyeru semua pihak terlibat memberi kerjasama penuh dalam pelaksanaan Banci Pertanian 2024.
"Kejayaan Banci Pertanian 2024 sememangnya memerlukan kerjasama semua pengusaha isi rumah, institusi dan pertubuhan yang menjalankan aktiviti pertanian.
"Maklumat lanjut berkaitan Banci Pertanian 2024 boleh dilayari di portal Jabatan PerangkaanMalaysia iaitu www.myagricensus.gov.my dan laman Facebook Banci Pertanian 2024 www.facebook.com/bancipertanian2024/," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, parameter utama banci yang akan diliputi telah mengambil kira keperluan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang turut memenuhi keperluan bagi Dasar AgromakananNegara dan Dasar Agrokomoditi Negara.
"Banci Pertanian 2024 merangkumi 11 tema yang disarankan oleh World Census Agriculture 2020 iaitu Ciri demografi Pertanian; Tanah dan keluasan bertanam; Sistem pengairan; Pekerjaaan dan gaji & upah; Latar belakang Pendidikan; Agropelancongan; Kemudahan pembiayaian;Pendapatan, perbelanjaan dan aset; Amalan Pertanian dan penggunaan teknologi; Ekonomi digital bagi tujuan pemasaran; dan Keterjaminan makanan.
"Dapatan Banci Pertanian menyediakan statistik pertanian masa sebenar dan komprehensif yang memberi manfaat berguna kepada semua pihak termasuk pemegang taruh, kerajaan negeri, penyelidik, ahli akademik, pengusaha Pertanian dan orang awam," ujarnya.- DagangNews.com