Bank miliki penimbal yang cukup untuk lanjutan moratorium | DagangNews Skip to main content

Bank miliki penimbal yang cukup untuk lanjutan moratorium

Bank Negara Malaysia (BNM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Bank-bank di Malaysia sememangnya mampu untuk terus melanjutkan tempoh moratorium bersasar kerana mempunyai penampan yang mencukupi.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kemampuan itu turut disokong dengan kawalan selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) serta Persatuan bank-bank Malaysia.

"Bank memang berkemampuan untuk melaksanakannya kerana bank mempunyai buffer (penimbal) yang mencukupi untuk menanggung perkara ini.

"Dan setiap keputusan untuk melanjutkan moratorium adalah dikawal selia oleh Bank Negara dan juga melalui penglibatan Persatuan Bank-bank Malaysia," jelasnya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Mohd. Salim Sharif (BN-Jempol) di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Rahim Bakri
                                                                                               Abdul Rahim Bakri

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Mohd. Salim meminta penjelasan terhadap kemampuan bank-bank di Malaysia untuk menjalani tempoh moratorium.

Mohd. Salim turut meminta beliau menerangkan langkah strategi di peringkat kementerian bagi mengekang kemungkinan berlakunya kenaikan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL).

Jelas Abdul Rahim lagi, seperti dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), RM100 bilion daripada pakej tersebut adalah inisiatif moratorium yang telah disediakan oleh bank-bank di Malaysia.

Mohd. Salim Sharif
                                                                                                             Mohd. Salim Sharif

 

"Setakat ini sememangnya pihak bank telah menanggung RM66.6 bilion pakej moratorium tersebut bagi tempoh pelaksanaannya," jelasnya lagi.

Dalam laporan DagangNews.com baru-baru ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh pinjaman atau moratorium dilanjutkan lagi selama tiga bulan sehingga Disember 2020 bagi individu yang masih hilang punca pendapatan atau perusahaan yang menghadapi krisis kewangan.

Mereka yang terlibat telah digesa untuk berurusan dengan pihak bank bermula 7 Ogos lalu. - DagangNews.com