Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Bank Pembangunan Malaysia Bhd. (BPMP) menjadi penandatangan rasmi Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), (UNEP FI) bagi Prinsip Perbankan Bertanggungjawab (PRB).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arshad Mohamed Ismail berkata, pihaknya berbangga menjadi salah satu daripada dua bank di Malaysia serta yang pertama dalam kalangan institusi kewangan pembangunan negara yang komited dengan UNEP-FI PRB.
"BPMB komited menjadi rakan pembangunan terkemuka di Malaysia yang menyokong kemajuan masa hadapan negara melalui digitalisasi, kelestarian dan inklusif.
"Dalam hal ini, BPMB akan menilai projek-projek bagi memastikan kesan positif dalam aspek masyarakat, persekitaran dan pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PRB merupakan kerangka tunggal untuk kemampanan industri perbankan yang dibangunkan melalui perkongsian inovatif antara bank di seluruh dunia dan UNEP FI.
Kerangka tersebut menetapkan peranan dan tanggungjawab industri perbankan untuk membentuk masa hadapan yang lebih mampan dan menyelaraskan sektor perbankan dengan matlamat Pembangunan Mampan PBB (UNSDG) dan Perjanjian Iklim Paris 2015.
Tambah beliau, PRB juga membuka jalan dan peluang perniagaan baharu kepada bank untuk memanfaatkan kewujudan ekonomi pembangunan mampan.
"Dengan menyertai UNEP FI juga, BPMB berpeluang untuk terlibat dalam program kolaboratif yang dapat mengembangkan inisiatif kepimpinan, garis panduan dan sumber untuk kesan yang lebih positif dalam penyelarasan sektor perbankan dengan Perjanjian Iklim Paris dan UNSDG," tambahnya.
BPMB mula ditubuhkan pada 28 November 1973 yang berperanan dalam pembangunan ekonomi negara termasuk mambantu penyediaan kemudahan pembiayaan kepada usahawan PKS.
Selain kemudahan pembiayaan, BPMB juga turut membantu dalam aspek latihan dan khidmat nasihat khususnya kepada usahawan Bumiputera. - DagangNews.com