KUALA LUMPUR 12 Nov - RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' ke atas Johor Plantations Group (JPG) dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.50 daripada RM1.20.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut disokong kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) melebihi RM5,000 bagi satu tan yang akan mendorong pertumbuhan kumpulan itu.
"Kenaikan harga MSM didorong oleh ketegangan geopolitik yang meningkat,kenaikan harga minyak kacang soya akibat cuaca di Amerika Selatan dan larangan eksport minyak sawit Thailand bagi mengawal kenaikan harga minyak masak.
"Walaupun Thailand bukan pengeluar atau pengeksport minyak sawit yang besar, tetapi berdasarkan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya umum Amerika Syarikat pada 2016, harga kacang soya dan minyak sawit masing-masing meningkat 17% dan 28%," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Firma itu berkata, walaupun prospek sektor perladangan menjelang 2025 bertambah baik, terdapat beberapa faktor yang akan mendorong kepada defisit yang lebih ketara dalam minyak dan lemak global pada 2025.
"Antaranya ialah keluaran dan stok minyak sawit yang rendah di Indonesia, peningkatan mandat biodiesel Indonesia pada 2025 dan bekalan biji matahari, biji sesawi dan kanola yang ketat," katanya dalam satu nota penyelidikian, hari ini.
"Oleh itu, kami menaikkan unjuran harga MSM kepada RM4,300 satu tan bagi 2025 and RM4,100 setiap tan menjelang 2026.
"Secara keseluruhan, kami menjangkakan harga MSM akan kekal lebih tinggi pada 1H25, didagangkan dalam anggaran RM4,400 sehingga 4,800 setan sebelum menyederhana pada 2H25 kepada RM4,000 sehingga RM4,400 bagi satu tan semasa musim puncak.
"Sementara itu, kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas JPG serta menaikkan unjuran pertumbuhan kumpulan pada FY24 sehingga FY26 masing-masing pada 13%, 25% dan 11%," katanya.- DagangNews.com