KUALA LUMPUR 14 Nov - Pemaju hartanah Pasdec Bhd dijangka merealisasikan anggaran keuntungan bersih RM68.38 juta daripada cadangan penjualan tanah perindustrian di Kuantan, Pahang kepada Petroluxe Refinery (M) Sdn Bhd pada harga RM73.5 juta.
Hasil yang diterima daripada pelupusan yang dicadangkan akan digunakan untuk tujuan modal kerja bagi projek yang sedang dijalankan dan yang baharu dilancarkan serta mengurangkan hutang, kata Pasdec dalam makluman di Bursa Malaysia.
Tanah seluas 23.9 hektar (59.2 ekar) itu adalah tanah pegangan pajak dengan baki tempoh pegangan tamat pada 6 Ogos 2113. Nilai buku bersih hartanah itu ialah kira-kira RM3.97 juta pada akhir Dis 2023.
Petroluxe Refinery terlibat terutamanya dalam perniagaan pembuatan, eksport dan import produk petroleum ditapis serta perkhidmatan pergudangan dan penyimpanan.
Pasdec berkata pelupusan itu akan membolehkan kumpulan itu membuka kunci nilai hartanah dan mengukuhkan kedudukan aliran tunainya.
“Pembangunan kompleks penapisan dan kemudahan petrokimia bersepadu di hartanah itu akan menjana kesan berganda kepada ekonomi dan berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan pertumbuhan rantaian bekalan kepada negara,” tambahnya.
Penjualan tanah itu dijangka siap pada suku keempat tahun ini.
Harga saham Pasdec ditutup tidak berubah pada 28 sen, menjadikan kumpulan itu permodalan pasaran RM112 juta. - DagangNews.com