KUALA LUMPUR 14 Nov - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.063 bilion sebagai suntikan modal bagi membiayai komitmen kewangan syarikat-syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata sebahagian besar suntikan modal itu merupakan tanggungan komitmen kewangan bagi tujuan bayaran prinsipal dan kupon hutang syarikat yang membiayai projek infrastruktur dan pembangunan negara.
Menurutnya, antara projek infrastruktur terbabit seperti DanaInfra dengan bayaran prinsipal RM3.4 bilion untuk membiayai projek Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) dan Lebuhraya Pan Borneo (Sarawak) dan Prasarana dengan pembayaran prinsipal RM2.3 bilion untuk sukuk yang membiayai LRT3 dan perbelanjaan modal.
Selain itu, Jambatan Kedua Sdn Bhd dengan prinsipal mencecah RM1 bilion yang membiayai projek Jambatan Kedua Pulau Pinang dan Ocean Sunshine yang telah mengambil alih projek menyiapkan 5 Littoral Combat Ship, yang kini mengikut jadual dengan mencapai 70 peratus kemajuan.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata berikutan penstrukturan semula Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kerajaan bersetuju mengambil alih litar Antarabangsa Sepang dengan bayaran dibuat secara ansuran dalam tempoh lapan tahun mulai 2023 sehingga 2030.
Katanya, bayaran bagi sepanjang tempoh tersebut adalah berjumlah RM46 juta setahun. - DagangNews.com