Bantu kekalkan perniagaan, pemajak tanah Persekutuan diberi diskaun 50% | DagangNews Skip to main content

Bantu kekalkan perniagaan, pemajak tanah Persekutuan diberi diskaun 50%

Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah.

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Diskaun kadar pajakan hingga 50% diberikan kepada pemajak yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia sebagai satu inisiatif membantu pemajak menyusun semula aliran tunai sekali gus mengekalkan perniagaan golongan berkenaan.

 

Menurutnya, kadar diskaun itu adalah daripada nilai pajakan tahunan kepada pemajak yang memenuhi kriteria ditetapkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

 

“Inisiatif ini diharapkan dapat membantu pemajak untuk menyusun semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah-tanah Persekutuan di samping mengelakkan tanah-tanah tersebut daripada terbiar.

 

"Sekiranya pemajak tidak memenuhi kriteria yang membolehkan pengurangan kadar pajakan diberikan, pemajak boleh mengemukakan permohonan penjadualan semula bayaran pajakan bagi tahun ini kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan serta dikecualikan denda lewat," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Kerajaan Persekutuan melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan boleh memajak tanah Persekutuan kepada pihak lain berdasarkan Seksyen 221 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.

 

Urusan dibuat dengan menandatangani perjanjian pajakan mengikut tujuan yang dibenarkan dan dikenakan bayaran pajakan secara tahunan.

 

Bagaimanapun, susulan kehadiran pandemik COVID-19, kerajaan Persekutuan prihatin dengan beban dihadapi oleh pemajak-pemajak tanah Persekutuan yang terdiri daripada sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan dan pelabuhan.

 

Beliau memberitahu, kesemua sektor berkenaan adalah sektor paling teruk terjejas dengan COVID-19 dan memerlukan masa untuk kembali stabil.

 

"Oleh itu, kerajaan Persekutuan bersetuju memperkenalkan inisiatif pemberian diskaun tersebut bagi membantu pemajak tanah Persekutuan," katanya lagi. - DagangNews.com