KUALA LUMPUR 22 Feb. - Melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Kerajaan telahpun mengumumkan bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 ringgit kepada pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing, bagi meringankan beban mereka.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menurut pangkalan data terkini, lebih kurang 110,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan kenderaan e-hailing sepenuh masa akan menerima bantuan tunai tersebut, melibatkan jumlah keseluruhan RM55 juta.
"Sukacita dimaklumkan bahawa pembayaran pertama telahpun dibuat mulai 22 Februari 2021 (Isnin). Seramai 20,000 pemandu teksi dan kereta sewa menerima bantuan tersebut yang telah dikreditkan ke dalam akaun pemandu-pemandu yang terlibat, manakala baki seramai 15,000 lagi akan menerima bantuan tersebut secara berperingkat selewat-lewatnya pada 15 Mac 2021.
"Baki 75,000 penerima termasuk pemandu e-hailing, bas sekolah dan bas persiaran akan mula menerima bantuan tersebut secara berperingkat mulai 26 Februari 2021.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan berharap agar bantuan ini akan membantu golongan tersebut sementara Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan.
"PICK tentunya melambangkan titik permulaan bagi pemulihan sektor pelancongan dan sektor-sektor lain yang amat terkesan oleh pandemik COVID-19," kata beliau. - DagangNews.com