Bekas CEO KWSP dilantik sebagai pengarah Malaysia Airlines | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO KWSP dilantik sebagai pengarah Malaysia Airlines

Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias

KUALA LUMPUR 7 Mac - Bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias ​​dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif Malaysia Airlines Bhd dan syarikat induknya Malaysia Aviation Group (MAG) berkuat kuasa hari ini.

 

MAG dalam kenyataan media berkata, Zaiviji Ismail Abdullah pula dilantik sebagai pengarah bukan eksekutif Malaysia Airlines dan MAG.

 

Pengerusi kumpulan MAG, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pengalaman luas dan nilai kepimpinan Tunku Alizakri dan Zaiviji Ismail akan menjadi penting apabila MAG terus melaksanakan strategi yang sejajar dengan rancangan perniagaan 2.0 jangka panjangnya dan merealisasikan aspirasinya untuk menjadi syarikat peneraju di Asia.

 

"Beberapa bulan akan datang akan menjadi kritikal bagi kumpulan (MAG) dari segi pemulihan permintaan kerana kami menjangkakan pembukaan semula sempadan Malaysia dengan selamat.

 

"Kami akan terus meningkatkan lagi perkhidmatan dan keupayaan kami dalam perniagaan syarikat penerbangan dan bukan syarikat penerbangan kami untuk menyediakan pengalaman paling sesuai dan penyelesaian inovatif kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam perjalanan kami," kata Wan Zulkiflee.

 

Menurut kenyataan MAG, Tunku Alizakri, yang kini pengerusi Malaysia Venture Capital Management Bhd, juga merupakan ahli lembaga pengarah Prudential BSN Takaful, Bumi Armada Bhd, IHH Healthcare Bhd dan Sime Darby Plantation Bhd.

 

"Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai CEO KWSP dari 2018 hingga 2021, di mana beliau memainkan peranan penting dalam transformasi perniagaan digital KWSP untuk meningkatkan pengalaman digital ahli dan meningkatkan kecekapan operasi," kata MAG.


 

Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin
                               Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin

 


Sementara itu, Zaiviji Ismail ialah seorang profesional berpengalaman dengan pengalaman lembaga dan operasi tempatan dan antarabangsa yang luas dalam menetapkan strategi dan dasar untuk syarikat, menurut MAG.

 

"Beliau kini merupakan pengerusi Cement Industries of Malaysia Bhd dan Uniquest Ventures Pte Ltd di India.

 

''Sebelum ini, beliau berkhidmat dengan Shell selama lebih 22 tahun dan bersara pada Julai 2011, di mana jawatan terakhirnya ialah pengerusi syarikat Shell di Pakistan," kata MAG. - DagangNews.com