Bekas CEO Matrade dilantik menganggotai Lembaga Pengarah TIME dotCom mulai 9 Ogos 2023 | DagangNews Skip to main content

Bekas CEO Matrade dilantik menganggotai Lembaga Pengarah TIME dotCom mulai 9 Ogos 2023

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Bekas CEO Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif TIME dotCom Bhd berkuat kuasa hari ini.

 

Shahreen pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Matrade dari 2017 hingga 2019 di mana beliau bekerja untuk mempromosikan beberapa industri melangkaui minyak dan gas (O&G), serta merumuskan hala tuju strategik untuk mengembangkan perdagangan Malaysia.

 

Beliau telah mewakili negara dalam banyak misi perdagangan antarabangsa sambil terlibat dalam pelbagai dialog industri, kata kumpulan itu dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Sebelum memegang jawatan di Matrade, Shahreen menghabiskan sebahagian besar kerjaya awalnya dalam industri O&G, dan kemudiannya menyertai inisiatif kerajaan Program Transformasi Ekonomi yang dikendalikan oleh Unit Pengurusan Prestasi & Penyampaian Malaysia (Pemandu) pada 2010.

 

Beliau kini merupakan penasihat bebas kepada industri, jurulatih bertauliah dan profesor tambahan di universiti tempatan. Shahreen juga menganggotai lembaga pengarah dua syarikat tersenarai — EA Technique (M) Bhd dan Velesto Energy Bhd. - DagangNews.com