Bekas ketua hakim negara Tun Arifin Zakaria diumum sebagai pengerusi Can-One baharu | DagangNews Skip to main content

Bekas ketua hakim negara Tun Arifin Zakaria diumum sebagai pengerusi Can-One baharu

KUALA LUMPUR 28 Jun - Pengeluar bekas minuman tin, Can-One Bhd mengumumkan bekas ketua hakim negara Tun Arifin Zakaria dilantik sebagai pengarah kanan bebas bukan eksekutif dan pengerusi kumpulan itu.

 

Beliau menggantikan Datuk Seri Subahan Kamal, yang mengosongkan jawatan itu selaras dengan Amalan 5.3 Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021 mengenai had tempoh sembilan tahun yang terpakai kepada pengarah bebas.

 

Ini susulan tamatnya mesyuarat agung tahunan kumpulan itu yang diadakan pada hari ini.


 

can

 


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Can-One berkata Arifin, 72, berkhidmat dalam pelbagai jawatan dalam kerajaan, baik dalam jabatan kehakiman dan perundangan, sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada Mac 1992, dan hakim Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1994.

 

Pada tahun 2002, beliau telah dinaikkan sebagai hakim Mahkamah Rayuan, pada tahun 2005 sebagai hakim Mahkamah Persekutuan dan kemudian pada Oktober 2008 sebagai ketua hakim Mahkamah Tinggi.

 

Pada September 2011, Arifin dilantik sebagai ketua hakim negara ke-13, di mana beliau berkhidmat sehingga bersara pada 31 Mac 2017.

 

Beliau juga memegang jawatan pengarah dalam Microlink Solutions Bhd dan pernah menjadi pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd dari Mei 2021 hingga 2023. - DagangNews.com