Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng saran kerajaan teliti impak cukai terhadap peniaga, rakyat | DagangNews Skip to main content

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng saran kerajaan teliti impak cukai terhadap peniaga, rakyat

KUALA LUMPUR 6 Mac - Kerajaan disaran meneliti pelaksanaan cukai di dalam negara termasuk peningkatan kadar baharu cukai perkhidmatan yang berkemungkinan memberi kesan secara langsung kepada rakyat, kata bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

 

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bagan (PH) meminta kerajaan menyemak semula kadar baharu cukai perkhidmatan dan cukai barang bernilai tinggi atau cukai barang mewah bagi menilai impaknya kepada peniaga dan rakyat.

 

"Saya juga ingin meminta semua cukai baru termasuk kadar cukai SST dan cukai mewah yang baru disemak semula untuk mengurangkan beban kewangan kepada peniaga dan rakyat.

 

"Kalau boleh, ditangguhkan sehingga ada pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan pada akhir tahun ini.

 

“Jadi, adalah diharapkan pertimbangan dan semakan semula boleh dibuat supaya kadar cukai baharu termasuk cukai perkhidmatan 8% dipertimbangkan dan disemak semula,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.

 

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan)  berpendapat adalah lebih baik kerajaan melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) berbanding menaikkan kadar cukai perkhidmatan.

 

“Cukai perkhidmatan naik 2% tapi kutipan (cukai) kerajaan bertambah hanya dalam RM3 bilion, jadi jika betul mahu cari duit, GST baru dapat (lebih banyak) duit, pada masa sama laksanakan subsidi bersasar kerana akan bantu pula kerajaan jimat berbilion ringgit,” katanya.

 

Antara Ahli Parlimen yang turut membangkitkan isu cukai berkenaan ialah Datuk Seri Dr  Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau),  Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) dan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas). Persidangan bersambung hari ini.  - DagangNews.com