Belum habis COVID-19, harga keluli ancaman baharu kontraktor | DagangNews Skip to main content

Belum habis COVID-19, harga keluli ancaman baharu kontraktor

harga keluli ancaman baharu kontraktor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Kontraktor pembinaan di negara ini terus teruji susulan kenaikan harga keluli sebanyak 48%.

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara tersebut memberi tekanan tambahan kepada ramai kontraktor yang masih mengalami kerugian akibat pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Peningkatan harga keluli memberi kesan negatif kepada kontrak yang sedang berjalan dan hampir siap kurang daripada 50% kerana margin kontrak untuk baki kerja mungkin terjejas susulan kos keluli yang lebih tinggi.

 

"Kedua, margin projek yang diharapkan untuk penyerahan tender kontrak baharu akan lebih rendah kerana kos projek tersebut tidak mengambil kira kenaikan harga.

 

"Kesan negatif mungkin lebih parah bagi kontraktor kecil yang mengambil bahagian dalam tender kompetitif dalam tempoh tiga hingga enam bulan terakhir," jelas CGS-CIMB Research.

 

Risiko negatif turut mempengaruhi kontraktor yang mempunyai projek sektor swasta dan kerajaan yang bernilai tinggi kerana harga kontrak majoritinya sudah ditetapkan lebih awal.

 

Kesan kenaikan kos keluli dalam projek MRT 2 bagaimanapun dijangka dapat dikendalikan kerana projek berkenaan telah siap lebih daripada 70%.

 

Presiden Persatuan Pembina Johor, Tee See Kim dalam satu laporan media baru-baru ini memaklumkan bahawa harga keluli mengalami kenaikan daripada RM2,100/tan kepada RM3,100/tan sejak suku ketiga 2020.

 

Susulan itu, kontraktor mengalami kerugian kerana nilai kontrak yang ditawarkan sudah ditetapkan.

 

Hal ini kerana, setiap tander kebiasaannya mengambil kira harga bahan binaan semasa termasuk keluli yang merupakan komponen utama kepada industri pembinaan.

 

Bagaimanapun, perkara tersebut berbeza dalam projek sektor swasta, projek awam atau kerajaan terpilih yang mempunyai variasi atau perubahan harga sekiranya berlaku peningkatan kos.

 

Pada Januari 2021, rata-rata harga bar keluli (batang besi) menurun kepada RM2,800/tan disebabkan oleh permintaan industri yang lebih lemah. - DagangNews.com