KUALA LUMPUR 1 Sept - Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menaikkan harga jualan beras putih import kepada RM3,200 bagi setiap tan metrik bermula 1 September 2023 berbanding RM2,350 sebelum ini.
Pelarasan itu adalah sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
"BERNAS telah mengharungi separuh tahun pertama yang sangat mencabar disebabkan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran matawang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.
"Faktor-faktor ini secara kolektif telah mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini.
"BERNAS telah menanggung kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, syarikat itu berkata, akibat ketidakpastian keadaan semasa dan setelah mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan buat masa ini.
Mereka juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan serta rakan dagang antarabangsa bagi menjamin bekalan beras yang stabil untuk Malaysia kerana keselamatan makanan dan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan.
"Walaupun pasaran makanan global kini tidak menentu dan kian mencabar, BERNAS kekal utuh dan berdaya saing.
"Kami turut mengambil langkah yang bersesuaian dalam meningkatkan dan menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk," katanya.
BERNAS kekal komited untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi, bertindak sebagai “penyerap kejutan” bagi menghalang kesan negatif akibat ketidaktentuan pasaran beras global semasa dari melanda negara.
Syarikat itu juga akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala kerana Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah. - DagangNews.com