KUALA LUMPUR 7 Julai - Peminjam bank yang menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman harus menghubungi bank mereka untuk membincangkan langkah bantuan kewangan seperti penjadualan semula dan penstrukturan semula (R&R), bagi membantu mengurangkan sedikit tekanan terhadap kedudukan aliran tunai mereka.
Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM) meyakinkan orang ramai bahawa mereka terus komited untuk menyediakan bantuan kewangan kepada peminjam yang menghadapi masalah kewangan.
"Bank-bank itu menyokong penuh gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar bank menawarkan R&R kepada individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan," kata ABM dalam satu kenyataan.
ABM berkata peminjam yang memerlukan bantuan kewangan dinasihatkan menghubungi bank masing-masing melalui saluran rasmi bank mereka secepat mungkin, untuk membincangkan pilihan pembayaran balik kewangan yang sesuai.
Sebagai alternatif, peminjam yang memerlukan boleh mendapatkan bantuan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di bawah Program Pengurusan Hutang (DMP) untuk individu, atau Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SDRS) untuk PKS.
Pelanggan diingatkan supaya berhati-hati dengan scammers dan hanya memohon bantuan kewangan melalui saluran rasmi.
Pelanggan bank juga dinasihatkan untuk tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa sebagai ejen/wakil bank berkenaan dalam hal berkaitan bantuan pembayaran balik.
Bank tidak melantik atau melibatkan pihak ketiga atau ejen untuk tujuan ini, kata kenyataan itu. - DagangNews.com