Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Melihatkan penguncupan keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku kedua 2020, Ambank Research menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan dipotong 25 mata asas (bps) pada 6 September depan dengan 70% kemungkinan pemotongan sebanyak 50 bps untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.
“Dengan ketidaktentuan masih lagi wujud, kemungkinan gelombang jangkitan kedua, peningkatan jumlah kes baharu yang dicatatkan baru-baru ini ditambah pula dengan cabaran luaran dan domestik, ekonomi negara masih lagi dibebani dengan impak negatif.
“Sukar untuk negara pulih dan peroleh kemampanan dalam waktu terdekat.
“Oleh itu, ekonomi mungkin akan mencatatkan penguncupan pada suku ketiga 2020,” jelas Ambank Research menerusi laporannya.
Bagi tempoh setahun, pertumbuhan KDNK disemak semula kepada -3.6% berbanding -2.0% dengan penurunan sebanyak -5.6% daripada -5.0%.
Baca : Q2 KDNK menyusut 17.1%, terendah sejak 1998
Prestasi KDNK suku kedua Malaysia merosot jauh lebih teruk berbanding ramalan Ambank Research dan ketika krisis kewangan Asia dengan penguncupan 17.1%.
Penguncupan itu serentak dengan kemerosotan ketara KDNK suku kedua negara-negara lain akibat pelaksanaan langkah pengekangan virus COVID-19.
“Situasi terkini melihat pemulihan graf berbentuk L mungkin berlaku.
“Ekonomi domestik meleset buat kali ketiga sejak kemerdekaan negara.
“Penguncupan itu menunjukkan impak teruk akibat perintah berkurung dan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia bermula 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan COVID-19,” tambah Ambank Research. - DagangNews.com