BNM tambah RM2 bilion bantuan bersasar | DagangNews Skip to main content

BNM tambah RM2 bilion bantuan bersasar

 

 

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Bank Negara Malaysia (BNM) menambah peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF) berjumlah RM2 bilion. 

 

Selain itu, Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) ditubuhkan melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta.

 

Menurut bank pusat itu, tambahan ini meningkatkan jumlah peruntukan kepada RM4 bilion. 

 

Jelasnya, kemudahan ini akan disediakan sehingga 31 Disember 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal.

 

"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penerima Kemudahan Bantuan Khas dan Pembiayaan PKS Penjana kini boleh memohon TRRF, tertakluk pada jumlah had pembiayaan tidak melebihi RM500,000. 

 

"Bagi PKS dalam subsektor perkhidmatan pelancongan dan berkaitan pelancongan, bantuan terus disediakan di bawah Kemudahan Pelancongan Penjana yang ada," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Mengenai DRF 2021 pula, BNM berkata, ia ditubuhkan untuk mengurangkan beban kewangan dan membantu memulihkan operasi perniagaan PKS yang terjejas akibat banjir baru-baru ini di daerah yang dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai kawasan bencana banjir.

 

DRF 2021 bertujuan membantu PKS menampung kos membaik pulih dan menggantikan aset untuk kegunaan perniagaan yang mengalami kerosakan. 

 

"Dana ini ditawarkan kepada PKS termasuk perusahaan mikro dengan jumlah pembiayaan maksimum sehingga RM500,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro," katanya.

 

Ia melibatkan tempoh pembiayaan sehingga 5 tahun, termasuk moratorium selama 6 bulan bagi bayaran pokok dan faedah. Kadar pembiayaan adalah sehingga 3.50% setahun, termasuk fi jaminan.

 

Kemudahan ini disediakan sehingga 31 Julai 2021 atau setelah peruntukan digunakan sepenuhnya, mana-mana yang lebih awal.

 

Menurut BNM, perniagaan yang terjejas boleh memohon pembiayaan pada kadar konsesi daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM. - DagangNews.com