Boot Out Piracy kempen kesedaran terhadap isu penstriman haram Liga Perdana | DagangNews Skip to main content

Boot Out Piracy kempen kesedaran terhadap isu penstriman haram Liga Perdana

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Liga Perdana melancarkan fasa kedua kempen ‘Boot Out Piracy' atau anti-cetak rompak di Malaysia hari ini dengan tujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap risiko kecurian data peribadi dan penipuan apabila menonton perlawanan menerusi saluran penstriman haram.

 

Menerusi penstriman haram, peminat akan mengalami pelbagai masalah termasuk pautan rosak, iklan secara 'pop up' dan lebih membimbangkan adalah mereka terdedah kepada perisian hasad (malware) dan perisian tebusan (ransomware) yang sering mengakibatkan pencurian data dan penipuan.

 

Fasa kedua ‘Boot Out Piracy’ tampil menerusi video-video baharu dengan bintang-bintang Liga Perdana Inggeris, termasuk pemain Liverpool Virgil van Dijk dan pemain Leicester City James Maddison. 

 

Menerusi kempen sebelum ini, sejumlah besar pemain terbaik dihimpunkan termasuk Marcus Rashford (Manchester United), Mohamed Salah (Liverpool) dan Son Heung-Min (Tottenham Hotspur). 

 

Selain daripada Malaysia, kempen ini juga dilancarkan di Singapura, Indonesia dan Hong Kong.

 

Penasihat Perundangan bagi Liga Perdana, Kevin Plumb berkata, peminat mungkin mengalami beberapa isu serius sekiranya mereka memilih untuk menonton kandungan cetak rompak antaranya pencurian data dan pendedahan kepada serangan siber. 

 

TONTON JUGA: Bintang Liga Perdana bersatu dalam kempen ‘Boot Out Piracy’ di Malaysia

 

“Satu-satunya cara untuk mengelak semua risiko ini adalah dengan menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana menerusi rakan siaran rasmi kami. 

 

"Kami akan terus berkerjasama dengan mereka dan pihak berkuasa di Malaysia dan seluruh Asia untuk melindungi peminat daripada mengakses laman-laman cetak rompak," katanya.

 

salah

 

Penyelidikan yang dijalankan oleh syarikat White Bullet Solutions menunjukkan bahawa 44% laman-laman web di Malaysia yang menawarkan penstriman haram memuatkan iklan yang dianggap berisiko, mengandungi sama ada penipuan, perisian hasad, kandungan dewasa atau perjudian. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif White Bullet Solutions, Peter Szyszko berkata,penjenayah siber sedang memanfaatkan sepenuhnya laman-laman penstriman haram untuk menyebarkan perisian hasad, mendapatkan akses kepada data peribadi dan melakukan penipuan.

 

son

 

"Pesanan kami kepada orang awam adalah cetak rompak tidak berbaloi dengan risikonya," katanya.

 

Sejak penubuhan pejabat Asia Pasifiknya di Singapura hampir tiga tahun lalu, Liga Perdana telah memulakan tindakan menyekat laman-laman web haram di Singapura, Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

 

Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati mengedar kandungan tanpa izin menerusi peranti penstriman haram. 

 

Katanya, sebagai penyiar rasmi Liga Perdana di Malaysia, Astro bertekad untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dan rakan-rakan kami seperti Liga Perdana dalam kempen anti-cetak rompak untuk melindungi peminat-peminat sukan di Malaysia daripada serangan keselamatan siber.
 

“Kami melihat tanda-tanda positif yang mana para peminat Liga Perdana di Malaysia sudah mula memahami risiko-risiko berbahaya berkaitan dengan penstriman haram dan kami bertekad untuk membantu masyarakat menikmati pengalaman menonton Liga Perdana yang terbaik dalam HD dan 4K UHD di Astro," katanya. - DagangNews.com